‘Perjalanan Haji Sama Seperti Jutaan Jemaah Lain’, Kata Nurul Izzah

Foto – facebook Nurul Izzah

KUALA LUMPUR, 9 Jun 25 – Anak sulung Perdana Menteri Nurul Izzah Anwar, menjelaskan perjalanannya menunaikan ibadah haji bersama suami, Yin Shao Loong, sama seperti jemaah haji yang lain.

Timbalan presiden PKR itu menjelaskan, kedua-dua mereka tidak menggunakan perkhidmatan jet peribadi untuk berlepas ke Tanah Suci Mekah dan melanggan pakej mewah sepanjang menunaikan rukun Islam ke-5 itu.

“Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji yang lain,” katanya, dalam satu kenyataan di facebook beliau.

Sebaliknya, Nurul menjelaskan, dia dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji melalui visa mujamalah dan menggunakan penerbangan komersial.

“Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri,” kata Nurul.

Nurul berkata, pihaknya banyak menerima hantaran dan mesej berkaitan fitnah yang mana perlu diperbetulkan.

“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia.

“Paling bermakna dapat melaksanakan ibadah haji bersama suami khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT sudah menyempurnakan agama kita,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share