
KUALA LUMPUR, 5 NOV 2025 – Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa pembelian gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat oleh Petronas “sudah lama dan bukan perkara baharu,” dengan menegaskan bahawa kenyataan itu tidak sepenuhnya tepat.
Menurut beliau, walaupun Petronas sememangnya mempunyai kebebasan komersial untuk membeli LNG dari mana-mana negara, termasuk Amerika Syarikat, keadaan kini berbeza apabila kerajaan menandatangani perjanjian baharu yang mewajibkan pembelian tahunan daripada negara itu.
“Perjanjian terbaharu ini menetapkan Petronas perlu membeli LNG dari Amerika Syarikat bernilai sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun demi mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah. Ini bukan lagi keputusan komersial bebas, tetapi satu kewajipan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di Parlimen hari ini.
Syahir turut memaklumkan bahawa di bawah perjanjian itu, komitmen pembelian LNG oleh Petronas dan arang batu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menjejaskan hubungan dagangan sedia ada dengan negara-negara lain seperti Indonesia dan Australia (arang batu), serta Kuwait dan Qatar (LNG).
“Langkah ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana perjanjian perdagangan yang dimeterai sebelum ini. Dahulu, keputusan pembelian dibuat berdasarkan pertimbangan pasaran dan keperluan negara, bukan kerana terma wajib yang dipaksakan,” jelasnya.
Beliau menegaskan, perbezaan ketara wujud antara terma rundingan yang digunakan oleh Perdana Menteri terdahulu dengan rundingan yang dimeterai oleh kerajaan hari ini.
“Isunya bukan sekadar dari mana LNG itu dibeli, tetapi sama ada keputusan itu dibuat atas dasar kepentingan negara dan kebebasan komersial, atau kerana tekanan dalam rundingan antarabangsa,” tegasnya.
Kenyataan Mohd Syahir itu hadir sehari selepas Perdana Menteri mempertahankan perjanjian perdagangan LNG dengan Amerika Syarikat, yang menurutnya merupakan lanjutan daripada urus niaga sedia ada oleh Petronas. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.