
KUALA LUMPUR, 7 NOV 25 — Ketua Bahagian Bersatu Sepanggar, Norsahar Ahmad menegaskan bahawa segala persiapan jentera parti menghadapi pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang masalah di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, jentera Bersatu di Sabah kini fokus terhadap tanggungjawab masing-masing untuk memastikan kempen pilihanraya negeri digerakkan dengan jayanya.
“Persiapan pilihan raya Bersatu berjalan lancar, tak ada masalah pun. Dari segi jentera parti sudah siap sedia, PDM semua pun dah boleh jalan,” katanya ketika dihubungi politiko.
Menurut Norsahar, Bersatu Sabah akan menggunakan slogan “Kasih Bagus Sabah” dalam kempen kali ini, dan Presiden parti dijangka hadir pada majlis pengumuman calon yang dijadualkan pada 11 November.
Beliau turut mengesahkan bahawa pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Sabah telah diselesaikan dengan baik tanpa sebarang pertikaian.
“Semua berjalan lancar. Yang akan bertanding nanti ialah Bersatu, PAS, dan Gerakan,” jelasnya.
Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke 17 pada 29 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 15 November dan tarikh pengundian awal pula adalah pada 25 November.
Berdasarkan data terkini daripada SPR, seramai 1,784,843 pengundi layak akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam PRN kali ini.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, tetapi hanya 73 kerusi akan dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini manakala enam lagi adalah kerusi untuk ADUN yang dilantik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.