“Perjanjian Pangkor Bukan Bukti British Tak Jajah Perak” – Azmi Ariffin

KUALA LUMPUR | 27 Ogos 2026 — Perjanjian Pangkor tidak boleh dijadikan bukti bahawa British tidak menjajah Perak kerana proses penjajahan perlu dilihat secara menyeluruh, bukan berdasarkan satu peristiwa atau dokumen semata-mata, kata Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Azmi Ariffin.

Menurut Azmi, Perjanjian Pangkor 1874 merupakan sebahagian daripada proses yang membuka ruang kepada penguasaan British di Perak, dan tidak wajar ditafsir secara terpisah daripada perkembangan yang berlaku sebelum serta selepas perjanjian tersebut.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kewujudan sistem Residen British yang nasihatnya perlu dipatuhi, pengenaan cukai serta tindakan terhadap pembesar tempatan yang kehilangan hak tertentu berkaitan kutipan cukai.

“Kenapa kita nak ukur kita ni tak dijajah hanya dengan Perjanjian Pangkor saja? Sedangkan British berperang di situ. Sedangkan ada sistem Residen yang nasihat dia perlu dipatuhi. Sedangkan cukai itu dipaksa dibayar kepada British,” katanya ketika muncul dalam podcast Khabarnya.

Azmi berkata, proses penjajahan tidak berlaku dalam satu fasa atau melalui satu dokumen sahaja, sebaliknya berkembang secara berperingkat seperti sebuah tangga.

“Dalam memahami proses penjajahan, dia tak boleh sepotong peristiwa. Dia kena lengkap. Dia macam tangga. Penjajahan ini fasa satu, fasa dua. Dia ada banyak fasa,” katanya.

Menurut beliau, Perjanjian Pangkor hanya merupakan salah satu fasa awal yang membuka pintu kepada proses penguasaan British, sebelum kuasa kolonial itu semakin mengukuhkan pengaruhnya di Perak.

Azmi turut mengaitkan perkembangan selepas perjanjian tersebut dengan tindakan British terhadap institusi pemerintahan dan masyarakat tempatan, termasuk campur tangan terhadap raja-raja, hukuman terhadap individu serta perubahan dalam sistem pentadbiran.

“Penjajahan Pangkor ini baru satu fasa, yang membuka pintu pada proses penjajahan,” katanya.

Beliau pada masa sama mengkritik kecenderungan sesetengah penulisan sejarah yang menurutnya terlalu bergantung kepada tafsiran yang memihak kepada British, khususnya versi Andrew Clarke berhubung Perjanjian Pangkor.

Azmi berkata terdapat juga karya sejarah lain yang perlu diteliti, termasuk tulisan Harry Ord dan Benson Maxwell, yang menurutnya memberikan bahan untuk menilai semula naratif sedia ada mengenai proses penguasaan British di Perak.

“Kalau kita baca tulisan dia, Power Malay Conquers itu, bahagian ini dia petik Perjanjian Pangkor sangat komprehensif, hampir keseluruhan buku dia,” katanya.

Beliau mempersoalkan sama ada kritikan terhadap tafsiran tersebut telah diberikan perhatian yang sewajarnya dalam kalangan ahli sejarah tempatan.

“Soalan saya ialah buku ini ada kritikan, ini ada apa stand ahli sejarah terhadap kritikan ini? Tak ada jawapan,” katanya.

Azmi menyifatkan keadaan itu sebagai pendekatan yang terlalu pasif kerana hanya memilih naratif sejarah yang sedia ada tanpa mencabar atau menilai semula sumber dan tafsiran alternatif.

Menurut beliau, memahami sejarah penjajahan memerlukan penelitian terhadap keseluruhan proses, termasuk faktor ketenteraan, pentadbiran, ekonomi dan perubahan kuasa yang berlaku secara berperingkat.

Justeru, beliau menegaskan Perjanjian Pangkor tidak seharusnya dijadikan ukuran tunggal untuk menentukan sama ada Perak pernah dijajah British atau sebaliknya, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada rangkaian perkembangan yang akhirnya membawa kepada pengukuhan kuasa British di negeri berkenaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share