Permohonan Imuniti Anwar Ganjil, Mengejutkan – Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 31 mEI 25 – Mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, menyifatkan permohonan imuniti undang-undang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  amat ganjil dan mengejutkan kerana tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam sejarah kehakiman negara.

Dalam kenyataan di facebook, Rais berkata ia menghairankan kerana dari mana hujah perundangan yang digunapakai oleh Perdana Menteri.

“Minta kekebalan atau imuniti daripada proses undang-undang Malaysia bagi pihak seorang Perdana Menteri adalah paling ganjil dan mengejutkan. Permohonan sebegini tidak pernah dilakukan.

“Hairan, dari mana nas perundangan yang digunakan oleh peguam beliau? Perdana Menteri tidak mempunyai imuniti daripada saman sivil atau jenayah,” katanya.

Tambah beliau, kes yang dirujuk berlaku ketika Anwar belum menjadi perdana menteri maka seharusnya beliau menghadapi kes ini sebagai insan biasa.

“Kes ini berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri, ketika itu beliau hanya insan biasa. Jadi kini, lawanlah sebagai insan biasa, tanpa apa-apa perisai khayalan.

“Bukankah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang? Para Tuanku Sultan dan Yang di-Pertuan Agong pun boleh disaman sejak 1994, jika mendapat kelulusan Peguam Negara (mengikut Perkara 182 Perlembagaan),” ujarnya.

Kenyataan Rais merujuk kepada kes saman sivil melibatkan Muhammed Yusoff Rawther terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual pada 2018.

Beliau turut menegaskan bahawa Peguam Negara tidak mempunyai lunas undang-undang untuk campur tangan dalam kes sivil seperti yang difailkan oleh Yusoff Rawther.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Anwar telah mengemukakan permohonan luar biasa untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau berhak mendapat imuniti dalam kes saman sivil tersebut. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share