Hamzah Adakan Dialog Anak Muda, Jelas Dasar Dan Halatuju Pembangkang

Foto : Facebook Wan Fayhsal

KUALA LUMPUR, 16 Jul 25 – Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin mula mengorak langkah mendekati pengundi dari pelbagai latar belakang walaupun Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih berbaki lagi dua tahun.

Beberapa siri dialog dan wacana Hamzah bersama kepimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pelbagai kelompok pengundi dapat dilihat dianjurkan dan bergerak dalam skala kecil.

“Memang buat skala kecil sebab nak lebih banyak interaksi dengan golongan profesional muda,” kata Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam hantaran Facebook.

Hantaran Ahli Parlimen Bersatu tersebut kelihatan menunjukkan Hamzah bersama sekumpulan profesional muda bertukar-tukar pandangan dan sesi soal jawab dalam program ‘Fireside Chat bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin’ di Liberal Latte, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Ramai yang bertanya apa pembangkang nak buat bila kami jadi kerajaan? Atau kenapa pembangkang tak buat itu, tak buat ini.

“Nah, semalam kita adakah sesi sembang santai tapi serius bersama ketua pembangkang. Majoriti yang hadir adalah golongan profesional muda yang bertugas dalam kerajaan dan juga sektor swasta,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Beliau turut mengepilkan beberapa keping gambar program santai tersebut.

Jelasnya, dalam sesi itu juga Hamzah menjelaskan gagasan besar beliau tentang Konsensus Nasional Baharu — satu seruan ke arah penyatuan semula negara berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, meneladani reset pertama negara oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1970.

Hamzah katanya turut menekankan masa depan Malaysia tidak boleh dibina di atas politik perpecahan dan kepentingan sempit.

“Sebaliknya, kita perlu kembali kepada semangat asal kenegaraan,  membangun negara bersama, dengan rasa tanggungjawab dan kesungguhan untuk semua rakyat,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Turut hadir memeriahkan sesi adalah Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi;  (Indera Mahkota) Datuk Seri Saifuddin Abdullah; (Tasek Gelugor) Datuk Wan Saiful Wan Jan; dan (Beluran) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share