Sekiranya disoal ‘Adakah awak orang Melayu dahulu atau rakyat Malaysia dahulu?’ (Are you a Malay first or a Malaysian first?), saya akan mengatakan bahawa soalan itu tidak wajar.
Kerana sesetengah orang punya identiti berbilang, contohnya Muslim-Melayu-Malaysia atau Muslim-Melayu-Cina-India-Malaysia.
Justeru, apakah niat soalan itu? Apa manfaatnya?
Apa yang penting ialah mencari kaedah meningkatkan perpaduan seluruh rakyat. Iaitu perpaduan dengan makna yang tepat, bukannya separuh masak atau dimanipulasi. Perpaduan yang meliputi seluruh kehidupan, bukannya bidang tertentu sahaja.
Perpaduan dapat dilaksanakan dalam politik. Contohnya, melalui gagasan Konsensus Nasional Baru (Hamzah Zainudin) dan konsep ‘demokrasi Malaysia yang pelbagai kaum dan moderat’. Pokoknya, bukan politik perkauman sempit.
Terdapat pelbagai kaedah menuju perpaduan. Raikanlah semuanya. Malahan, pelbagai kaedah tersebut harus bekerjasama. Harus melihat dan menuju gambaran besar (big picture) perpaduan.
Kini, Parti Wawasan Negara menjadi ‘jambatan perpaduan politik’ untuk seluruh rakyat. Ia bermula dengan perpaduan politik Melayu-Islam bersama UMNO dan PAS. Ini menepati tuntutan Islam yang mengajar umatnya bersatu (Ali ‘Imran: 103).
Namun, ada yang skeptikal. Kerana sebelum ini telah berlaku perpecahan, contohnya, banyaknya parti politik Melayu-Islam. Benar. Tetapi ayat yang menyuruh mereka yang berselisih supaya berdamai (Al-Hujurat: 10) juga benar.
Syaratnya, caranya mestilah berdasarkan Islam, iaitu dengan keimanan, kesolehan, kebenaran dan kesabaran (Al-‘Asr).
Perpaduan Melayu-Islam tidak boleh ekslusif, iaitu hanya mementingkan dirinya semata-mata dan meminggir atau mendiskriminasi orang bukan Melayu-Islam. Tidak boleh juga bertentangan dengan Islam, contohnya berunsur asabiyyah, supremacist atau menjadi golongan majoriti yang tirani.
Sebaliknya, perpaduan Melayu-Islam mesti inklusif, seperti maksud lita’arafu (Al-Hujurat: 13) iaitu meraikan (celebrate), berkenal-kenalan, bekerjasama dan hidup bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence) dengan orang bukan Melayu-Islam.
Kuncinya ialah pendekatan wasatiyyah, iaitu kesederhanaan, moderat dan seimbang serta menolak segala bentuk ekstremisme dan fanatisme.
Politik Melayu-Islam perlu berada di pertengahan (centrist), bukannya di kiri (leftist) atau di kanan (rightist).
Sebenarnya, orang Melayu-Islam (golongan majoriti) yang bersatu adalah lebih baik untuk orang bukan Melayu-Islam (golongan minoriti) daripada orang Melayu-Islam yang berpecah.
Orang Melayu-Islam yang berpecah akan berlumba-lumba sesama sendiri secara tidak sihat. Ada yang terkena sindrom mentaliti terkepung (siege mentality) atau ketakutan lalu berasa orang lain mengambil-alih hak dan peranannya. Ini boleh merebak menjadi perasaan anti-bukan Melayu-Islam atau sifat-sifat negatif yang lain.
Mereka tidak lagi berperanan seperti apa yang diharapkan daripada golongan majoriti.
Sebaliknya, orang Melayu-Islam yang bersatu akan berasa yakin dan mampu berperanan sebagai golongan majoriti yang boleh diharapkan. Iaitu adil, saksama serta menjadi tonggak dan memimpin perpaduan seluruh rakyat. Ini sendi konfigurasi politik yang matang dan stabil.
Jadi, usahlah dipengaruhi propaganda yang menakut-nakutkan, kononnya perpaduan Melayu-Islam akan menindas, ia gelombang hijau yang keras dan ia angin taliban yang ganas.
Kerana perpaduan Melayu-Islam bermakna keselamatan, keamanan dan kesejahteraan.
Kerana perpaduan Melayu-Islam adalah juga perpaduan Malaysia.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.