Perundingan Bukan Sekadar Libat Urus, Syura Perlu Jadi Asas Membuat Keputusan — Saifuddin

KUALA LUMPUR | 18 Sep 26 – Perundingan tidak seharusnya sekadar menjadi istilah lain bagi proses libat urus, sebaliknya perlu difahami sebagai satu pendekatan dan proses sebenar dalam mendapatkan pandangan sebelum sesuatu keputusan dibuat, kata Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, amalan mengadakan perundingan atau libat urus semakin biasa dalam pelbagai urusan dan perkembangan itu positif, namun makna sebenar perundingan perlu lebih dihayati bagi memastikan ia tidak disalah tafsir serta amalannya terus diperbaiki.

Menurut Saifuddin, beliau menggunakan istilah perundingan sebagai terjemahan kepada konsep syura, iaitu pendekatan, struktur dan proses bagi mendapatkan maklum balas, mengumpulkan pandangan atau pendirian serta membuat keputusan.

“Ini positif. Namun, memandangkan terdapat insiden-insiden di mana ‘perundingan’ disalah tafsir, serta perlunya amalan-amalannya ditambah baik dan dipertingkatkan, maka saya ingin membicarakannya dari tiga sudut, iaitu menghayati makna sebenarnya, membaiki amalan-amalannya dan mempertingkatkan aplikasinya dalam demokrasi,” katanya.

Saifuddin berkata, perundingan mempunyai kedudukan dan peranan penting dalam kehidupan bermasyarakat dan urusan kenegaraan, selain menjadi satu pendekatan untuk memastikan pandangan pihak berkaitan dapat dikumpulkan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Perundingan mempunyai kedudukan, tuntutan dan peranan amat komprehensif, penting dan bermanfaat dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, konsep berkenaan juga menunjukkan bahawa proses mendapatkan pandangan bukan sekadar formaliti, sebaliknya mempunyai nilai dalam membentuk keputusan yang lebih baik.

Menurutnya, dalam konteks demokrasi, amalan perundingan perlu terus diperbaiki dan dipertingkatkan supaya ia benar-benar berfungsi sebagai proses mendapatkan pandangan dan pendirian, bukannya sekadar label kepada sesuatu sesi libat urus.

Saifuddin berkata, penghayatan terhadap makna sebenar perundingan penting bagi memastikan proses membuat keputusan lebih terbuka kepada pandangan pihak berkaitan serta mengukuhkan amalan demokrasi.

Ketika ini, rundingan antara PAS dan UMNO sedang bejalan, namun beberapa pihak mempersoalkan rundingan ke arah penyatuan ummah ini kerana ia hanya melibatkan UMNO dan PAS. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share