Keputusan PAS Terima Reaksi Positif Dikalangan Profesional

KUALA LUMPUR, 9 Jun 26 — Keputusan PAS menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak, termasuk tokoh media, pengamal undang-undang dan penganalisis politik.

Tokoh wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin, antara yang terawal mengulas perkembangan tersebut dengan menyifatkan keputusan PAS itu tidak mengejutkan berikutan pelbagai masalah dalaman yang melanda BERSATU sejak kebelakangan ini.

“Patut pun PAS tamatkan kerjasama dengan Bersatu. Banyak sangat ragam Bersatu ni. Asyik berpecah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, peguam kanan Haniff Khatri Abdulla menyifatkan langkah PAS berpisah dengan BERSATU sebagai satu keputusan yang berani dan tepat demi mewujudkan amalan politik yang lebih sihat serta berteraskan keikhlasan.

Menurut beliau, sejak Pilihan Raya Sabah 2025 lagi beliau berpendapat PAS mempunyai peluang yang lebih baik untuk berkembang sekiranya tidak lagi bergantung kepada kerjasama dengan BERSATU.

“Politik yang sihat mestilah berpaksikan keikhlasan dan kejujuran demi kepentingan rakyat serta negara, bukannya semata-mata mengejar kerusi, kuasa atau kepentingan peribadi,” katanya.

Haniff turut mengucapkan tahniah kepada PAS kerana berani mengambil pendirian tersebut walaupun keputusan itu mungkin tidak menjanjikan keuntungan politik jangka pendek.

Dalam perkembangan sama, pengulas politik Shahbudin Husin melihat keputusan PAS itu sebagai permulaan kepada pembentukan jajaran politik baharu yang berpotensi mengubah landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurutnya, dua perkara paling penting daripada kenyataan PAS ialah keputusan memutuskan hubungan politik dengan BERSATU dan hasrat parti itu untuk meneroka persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya baharu demi penyatuan ummah.

“Tanpa keraguan lagi, ini memberi isyarat dan petunjuk bahawa PAS sudah mempunyai pilihan lain,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa dengan berakhirnya kerjasama PAS-BERSATU, Perikatan Nasional (PN) turut berdepan persoalan besar mengenai relevansi dan masa depannya.

Shahbudin juga percaya keputusan yang diumumkan sendiri atas nama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, membawa mesej yang signifikan mengenai hala tuju baharu parti itu.

Menurut beliau, keputusan PAS tersebut secara umumnya disambut baik oleh banyak pihak yang melihatnya sebagai langkah terbaik bukan sahaja untuk parti itu, malah demi masa depan ummah dan Islam di negara ini.

Sejak pengumuman rasmi dibuat malam tadi, media sosial menyaksikan pelbagai reaksi yang rata-ratanya mengalu-alukan tindakan PAS itu, selain menjangkakan pembentukan satu jajaran politik baharu yang bakal menjadi tumpuan menjelang siri pilihan raya akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share