Petani Kecewa Kerajaan Teruskan UPOV 1991, Tuntut Draf Akta 634 Didedah

KUALA LUMPUR | 15 Julai 26 – Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan untuk meneruskan penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 1991 (UPOV 1991), sambil menggesa draf penuh Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) didedahkan kepada umum sebelum sebarang pindaan dibentangkan di Parlimen.

Ketua Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad berkata, gabungan pertubuhan petani dan masyarakat sivil kesal apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tetap meneruskan agenda penyertaan ke UPOV 1991 walaupun pelbagai bantahan dan kebimbangan telah dibangkitkan.

Beliau merujuk kepada jawapan bertulis Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Parlimen pada 13 Julai lalu yang memaklumkan kerajaan akan meneruskan penyertaan Malaysia ke dalam UPOV 1991 dan tidak bercadang menangguhkan proses tersebut. Bagi membolehkan penyertaan itu, kerajaan perlu meminda Akta 634 agar selaras dengan kehendak konvensyen berkenaan.

“Walaupun terdapat bantahan yang meluas dan pelbagai kebimbangan berasas yang telah disuarakan, pihak KPKM masih berkeras untuk meneruskan agenda penyertaan ke dalam UPOV 1991 secara semberono,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Nurfitri, sehingga kini KPKM masih belum mendedahkan draf teks penuh pindaan Akta 634 untuk tujuan konsultasi awam, sebaliknya hanya terdapat draf rujukan yang diserahkan kepada Sekretariat UPOV di Geneva pada September tahun lalu bagi tujuan analisis pematuhan.

Katanya, pendedahan draf penuh amat penting kerana penjelasan yang diberikan kementerian setakat ini didakwa hanya “separuh benar” dan boleh mengelirukan rakyat mengenai implikasi sebenar penyertaan Malaysia ke UPOV 1991.

FKMM turut mendakwa pindaan Akta 634 berpotensi membuka ruang kepada amalan biopirasi sekiranya peruntukan sedia ada yang menghalang perbuatan itu digugurkan bagi memenuhi syarat UPOV 1991.

Menurut Nurfitri, tindakan tersebut akan mewujudkan lompang perundangan yang bercanggah dengan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795), sekali gus membolehkan benih tradisi tempatan didaftarkan sebagai varieti baharu selepas melalui pengubahsuaian kecil.

Beliau juga mendakwa hak petani untuk berkongsi dan menjual benih secara kecil-kecilan akan terjejas kerana pindaan yang dicadangkan memadamkan peruntukan yang membenarkan amalan tersebut.

“Ini bermakna petani hanya dibenarkan menyimpan dan menggunakan semula benih yang dituai di ladang sendiri tetapi tidak lagi boleh berkongsi atau menjualnya secara kecil-kecilan,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan sistem UPOV 1991 dijangka menyebabkan harga benih meningkat akibat pengurangan persaingan pasaran, peningkatan kos pendaftaran varieti baharu serta penentuan kadar royalti oleh syarikat komersial.

Sehubungan itu, FKMM menggesa KPKM segera mendedahkan draf penuh pindaan Akta 634 dan memuat naiknya ke Portal Konsultasi Awam Bersepadu (UPC) bagi membolehkan proses konsultasi awam yang telus dan menyeluruh dijalankan sebelum sebarang langkah diteruskan.

“Draf pindaan tersebut wajib dimuat naik ke dalam Portal Konsultasi Awam Bersepadu (UPC) bagi membolehkan proses konsultasi awam yang penuh dan telus dijalankan sebelum sebarang langkah selanjutnya diteruskan,” katanya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 13 Julai lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan kerajaan berpandangan penyertaan Malaysia ke UPOV 1991 akan memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan sektor pertanian negara, termasuk meningkatkan aspek keselamatan makanan, kelestarian biodiversiti dan kebajikan petani tempatan.

Menteri turut menjelaskan penyertaan Malaysia memerlukan pindaan kepada Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) bagi menyelaraskannya dengan keperluan konvensyen berkenaan, di samping menegaskan kerajaan akan terus memastikan kepentingan petani tempatan dipelihara melalui peruntukan yang sesuai. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share