
KUALA LUMPUR, 9 NOV 25 — Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengingatkan pengundi Sabah supaya memilih mereka yang benar-benar tulen sebagai pemimpin untuk mengetuai kerajaan negeri.
Timbalan presiden Bersatu itu menegaskan, pengundi perlu mengelakkan pemimpin yang hanya pandai menyusun kata-kata dan petah bercakap.
“Kita mahu Sabah yang benar-benar maju. Kita bukan mahukan Sabah dengan pemimpin yang hanya pandai bercakap,” kata Hamzah, ketika Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Sabah di Dewan Hakka di Sandakan, semalam.
Menurut Ketua Pembangkang itu, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sudah diberikan peluang mengetuai kerajaan Sabah, namun gagal mengotakan janjinya.
“Shafie kau dulu ketua menteri Sabah, sekarang kau bilang kalau kami jadi kerajaan kami akan perbaiki segala-galanya.
“Kamu nak baiki apa. Kamu dulu sudah jadi kerajaan, tidak pun kamu lakukan,” katanya
Hamzah turut menempelak Datuk Seri Hajiji Nor yang merupakan ketua menteri dari gabungan pembangkang PN itu, berpaling tadah.
“Kemudian Hajiji, kami dalam dewan inilah yang mengangkat kamu memimpin Sabah.
“Kamu sudah menderhaka kepada kami. Kamu tinggalkan kami, kamu susahkan rakyat Sabah, kami mahu kembali, kami mahu kerajaan ini dipimpin oleh PN,” kata Hamzah.
Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke 17 pada 29 November ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 15 November dan tarikh pengundian awal pula adalah pada 25 November. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.