
KUALA LUMPUR, 9 Sept 2025 – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bakal memberikan perlindungan sosial lebih menyeluruh kepada lebih 1.2 juta pekerja dalam sektor ekonomi digital.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata RUU berkenaan memperkenalkan mekanisme pemotongan automatik caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui integrasi antara muka aplikasi (API) dengan platform penyedia perkhidmatan.
“Mulai pelaksanaan nanti, caruman pekerja gig akan dipotong secara terus sebanyak 1.25 peratus daripada pendapatan selepas ditolak komisen dan tip. Sistem ini lebih adil dan tidak membebankan berbanding kaedah lama yang memerlukan bayaran prabayar antara RM157 hingga RM592 setahun,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut.
Beliau menegaskan langkah itu menjamin perlindungan bermula sebaik sahaja pekerja gig mula berkhidmat, walaupun bayaran caruman belum dilunaskan sepenuhnya.
RUU ini diperkenalkan selepas beberapa tahun rungutan dan bantahan daripada kumpulan pekerja gig, khususnya pemandu e-hailing dan penghantar makanan. Mereka mendakwa sistem lama tidak praktikal kerana caruman perlu dibayar secara pukal walaupun pendapatan bulanan tidak menentu.
Malah, beberapa kumpulan pekerja gig pernah mengadakan pertemuan dengan kerajaan dan berhimpun secara aman untuk menuntut caruman lebih fleksibel serta perlindungan yang setara dengan pekerja sektor formal.
Dikalangan mereka ada yang bimbang RUU baharu akan menambah beban kos, namun kerajaan memberi jaminan potongan kecil mengikut pendapatan lebih ringan berbanding bayaran prabayar terdahulu.
RUU Pekerja Gig 2025 yang mengandungi 112 fasal dalam 10 bahagian turut memperkenalkan definisi undang-undang lebih jelas mengenai pekerja gig, mekanisme penyelesaian pertikaian, serta jaminan kebajikan dan keselamatan sosial.
Dengan kelulusan ini, pekerja sektor gig – termasuk pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pekerja bebas digital – akhirnya mendapat pengiktirafan serta perlindungan undang-undang yang telah lama dituntut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.