
SHAH ALAM | 24 Julai 26 – Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang hipokrit susulan pengumuman kenaikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata tindakan Perdana Menteri itu bercanggah dengan kenyataannya sendiri di Dewan Rakyat pada 30 Jun lalu bahawa larangan mengumumkan sebarang peruntukan atau projek baharu selepas hari penamaan calon masih berkuat kuasa.
Menurut beliau, tindakan mengumumkan kenaikan SARA ketika siri kempen Jelajah Kekal Harapan di Paroi memperlihatkan amalan “cakap tidak serupa bikin” oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Dalam Sidang Dewan Rakyat pada 30 Jun 2026 yang lepas, PMX sendiri menyatakan bahawa larangan untuk mengumumkan sebarang peruntukan atau projek baharu selepas hari penamaan calon masih berkuat kuasa.
“Namun, tindakan beliau sendiri ketika berkempen jelas bertentangan dengan pendirian tersebut,” katanya.
Beliau turut mendakwa tindakan itu boleh dianggap sebagai “gula-gula politik” yang berpotensi melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggunakan kedudukan kerajaan untuk mempengaruhi pengundi.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka kertas siasatan bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung secara bersih, adil dan berintegriti.
Bagaimanapun, Faizzuddin menegaskan pihaknya tidak mempertikaikan usaha kerajaan membantu rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, sebaliknya mempersoalkan masa dan platform pengumuman bantuan tersebut.
“Rakyat berhak menerima bantuan, tetapi rakyat juga berhak mendapat proses demokrasi yang bersih, adil dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Kerajaan akan menaikkan lagi kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2027 untuk membantu rakyat berdepan kos sara hidup yang masih tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pentas ceramah jelajah ‘Kekal Harapan’ Negeri Sembilan, semalam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.