
KUALA LUMPUR, 30 NOV 25 – Perikatan Nasional (PN) menegaskan komitmen memperkukuh kekuatan politik gabungan itu di Sabah susulan hanya meraih satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diumumkan malam tadi.
Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata keputusan itu diterima dengan hati terbuka dan gabungan berkenaan akan melakukan penilaian semula demi mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Dengan kemenangan kerusi DUN Karambunai, PN akan terus memperkasa struktur jentera dan merapatkan saf kepimpinan.
“Kita menghormati keputusan rakyat Sabah dan mengucapkan penghargaan kepada semua jentera serta penyokong yang membantu kempen PN di 42 kerusi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam keputusan rasmi PRN berkenaan, calon PAS yang mewakili PN, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, mencipta sejarah apabila memenangi kerusi DUN Karambunai, satu-satunya kerusi dimenangi PN pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul gabungan dengan kerusi terbanyak selepas memenangi 29 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal kedua, awal pagi tadi.
PN seterusnya menegaskan akan terus membawa suara rakyat Sabah meskipun hanya memiliki satu kerusi di DUN, selain berperanan sebagai pembangkang yang efektif demi kepentingan negeri dan rakyat keseluruhannya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.