PN Jangka Permohonan Imuniti Anwar Akan Gagal

KUALA LUMPUR, 1 Jun 25 – Bekas menteri undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjangkakan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan imuniti akan gagal.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia berikutan terdapat duluan kes sebelum ini membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika disaman atas dakwaan salah guna kuasa dalam kes 1MDB.

Mahkamah Persekutuan pada 2019 katanya memutuskan bahawa seorang perdana menteri adalah pegawai awam dan boleh disaman.

“Kes ini menetapkan duluan penting bahawa seorang perdana menteri tidak kebal daripada sesuatu tindakan sivil atau tort jika berkaitan penyalahgunaan kuasa awam, apatah lagi tindakan yang bersifat peribadi.

“Dengan kata lain, tiada seorang pun warganegara, termasuk perdana menteri, harus berada di atas undang-undang dan tiada sebarang kedudukan boleh digunakan sebagai perisai undang-undang untuk tindakan peribadi,” kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.

Panel enam hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu sebulat suara memutuskan bahawa seorang Perdana Menteri dan menteri kabinet lain boleh disaman atas kesalahan misfeasans dalam jawatan awam.

Keputusan itu dibuat untuk membenarkan rayuan oleh Ahli Parlimen Damansara ketika itu, Tony Pua dalam saman misfeasans yang difailkannya terhadap Najib dan kerajaan berhubung 1MDB.

Takiyuddin turut mendakwa setiausaha politik kanan Anwar, Datuk Shamsul Iskandar Akin mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung kes tersebut.

Shamsul sebelum ini menafikan bahawa Anwar memohon kekebalan mutlak.

“PN melihat kenyataan tersebut agak mengelirukan dan menyimpang kerana ternyata salah satu isu utama dalam permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut adalah mengenai kekebalan,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share