
KUALA LUMPUR, 8 MEI 25 – Perikatan Nasional (PN) dijangka berupaya menjadi payung penyatuan Melayu sekiranya kelompok itu merasakan mereka terancam.
Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor Mohd Fadhli Ismail berkata, sebelum ini Barisan Nasional merupakan payung penyatuan itu namun rosak disebabkan pemimpinnya.
“Melayu hilang taring bila berpecah. Kita lihat sekarang berapa banyak parti Melayu yang wujud. Semua berpecah sebab pemimpin berbeza ideologi.
“Kepimpinan melalui teladan. Dulu BN adalah parti yang memayungi Melayu. Kepimpinan Melayu teguh, (sekarang) rosak disebabkan pemimpin,” katanya, kepada politiko.my.
Jelasnya, pemimpin PN juga perlu berjiwa besar dengan nilai yang baik sekiranya berhasrat untuk menjadi payung orang Melayu.
“Terancam itu adalah subjektif – parti tidak akan musnah. Individu boleh silih berganti, PN boleh jadi payung penyatuan jika pemimpin berjiwa besar dan ada nilai nilai yang baik.
“Anak muda sekarang nak tengok pemimpin. Kalau pemimpin pun tak dipercayai macam mana nak bersatu dan perpaduan,” katanya.
Ketua Bahagian Bersatu Paya Besar Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, Melayu mampu bersatu apabila mereka mengenepikan sifat kendiri parti politik masing-masing dan tidak berebut kuasa dan jawatan, mereka boleh duduk semeja dan berunding.
“Asas untuk orang Melayu bersatu amat jelas, apabila rakyat Melayu telah mula bersuara dan mengeluh tentang masa depan anak cucu cicit mereka,” katanya.
PN juga katanya telah terbukti menjadi payung penyatuan Melayu apabila boleh bekerjasama dengan parti2 Melayu seperti PAS dan bersama Umno pada tahun 2022.
“Orang Melayu dan parti-parti Melayu tiada pilihan kecuali bersama PN demi memastikan kestabilan ekonomi dan politik serta memastikan kaum-kaum lain merasai keharmonian serta membina ukhwah yg lebih jitu sesama rakyat Malaysia,” tambahnya. @politiko.my