
SEREMBAN | 26 Julai 26 – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan 14 tawaran tambahan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan digabungkan dengan manifesto Barisan Nasional (BN), sekali gus membentuk satu manifesto bersama untuk ditawarkan kepada rakyat.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran tambahan itu bukan bertujuan menggantikan manifesto BN, sebaliknya melengkapkan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan oleh BN sebelum ini.
“Empat belas tawaran tambahan ini adalah dicampur dengan manifesto Barisan Nasional yang telah dibentangkan dan ia wujud sebagai manifesto bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Tawaran Tambahan PN bagi PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, manifesto BN telah memperincikan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan PN-BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas PRN pada 1 Ogos ini.
Antara tawaran tambahan yang diumumkan ialah penaiktarafan Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) sebagai institusi yang berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan gunaan, pendidikan industri serta inovasi.
PN turut mencadangkan pemerkasaan Sekretariat TVET Negeri melalui pelaksanaan Program TAHVIS TVET serta pemberian bantuan persijilan profesional kepada graduan anak Negeri Sembilan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Dalam aspek pekerjaan, Samsuri berkata PN akan menubuhkan Negeri Sembilan Talent Corporation (NTC) sebagai pusat pembangunan bakat dan kepakaran masa depan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, semikonduktor, keselamatan siber, ekonomi digital dan automasi termaju.
Selain itu, beliau berkata sebuah Pusat Padanan Pekerjaan Negeri Sembilan turut dicadangkan bagi membantu memenuhi keperluan tenaga kerja khususnya dalam sektor pelancongan dan industri baharu.
Menurut beliau, isu pekerjaan merupakan antara keutamaan kerana ia berkait rapat dengan kehidupan dan kesejahteraan rakyat, justeru pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memperkukuh peluang pekerjaan dan pembangunan modal insan di negeri itu.
Beliau turut menggesa pengundi Negeri Sembilan supaya keluar mengundi pada hari pengundian bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama sebagai manifestonya sempena Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Manifesto tersebut ditambah dengan 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelerasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk Kerajaan Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.