
KUALA LUMPUR, 24 Jul 25 – Polis memberi jaminan tiada sekatan jalan raya menuju ibu negara menjelang himpunan Turun Anwar hujung minggu ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, perhimpunan itu dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.
“Kita juga menjangkakan berlaku kesesakan jalan raya menghala ke pusat bandar berikutan pertambahan jumlah peserta perhimpunan memasuki kawasan yang terbabit, namun tiada penutupan jalan akan dilaksanakan.
“Penganjur dan peserta dinasihatkan mematuhi semua peraturan serta undang-undang sedia ada semasa berhimpun, selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Polis juga katanya menerima sekitar 60 laporan polis berhubung himpunan tersebut.
Mohamed Usuf berkata, peserta dijangka berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
“Bagi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan awam di tahap maksimum, pihak pengendali perkhidmatan awam dan pihak polis akan ditambah di beberapa stesen yang terbabit,” katanya.
Antara stesen yang terlibat termasuk Stesen LRT KL Sentral, Masjid Jamek, Pasar Seni, Dang Wangi, Plaza Rakyat dan Bandaraya; serta Stesen MRT dan Monorail seperti Muzium Negara, Merdeka, Bukit Bintang, Imbi, Raja Chulan, Bukit Nanas, Medan Tuanku dan Chow Kit.
Beliau berkata, antara larangan semasa perhimpunan termasuk membawa senjata atau objek tajam, mercun atau suar, sepanduk provokatif, ucapan berunsur fitnah, membawa kanak-kanak dan tindakan melawan arahan pihak berkuasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran,” ujarnya.
Pada Jumaat, Mohamed Usuf dilaporkan berkata pihaknya sudah menerima pemakluman penganjuran perhimpunan itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi daripada penganjur.
Beliau berkata, polis menugaskan lebih 2,000 anggota bagi kawalan keselamatan ketika perhimpunan berlangsung. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.