
KUALA LUMPUR, 26 NOV 25 — Peguam Kanan Haniff Khatri Abdulla menggesa pihak berkuasa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tuduhan seorang ahli perniagaan mengaitkan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shamsul Iskandar Md Akin, dalam skandal perlombongan Sabah.
Datuk Albert Tei sebelum ini mendakwa memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan dia kononnya boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
“Persoalan pertama adalah sama ada Shamsul Iskandar merupakan individu atau ‘dalang’ mempengaruhi Tei untuk adakan dan merakamkan video yang didedahkan pada Nov 24 berkaitan politik Sabah.
” Sekiranya dia adalah dalang dan sekiranya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Nor jika beliau betul mengatakan dakwan Tei cuma nak jatuhkan imej kerajaan Sabah dan menghindar usaha Tei sebagai seseorang cuba monopoli perlombongan di Sabah maka polis penguatkuasa undang-undang wajib siasat isu konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, ” kata Haniff dalam hantaran Facebook.
Manakala pembayaran dibuat Tei kepada Shamsul Iskandar katanya memerlukan siasatan daripada SPRM.
“Tei katakan pembayaran itu bagi pembayaran kepada Shamsul kerana dah yakinkan Tei boleh perolehi semula semua wang rasuah yang diberikan kepada pemimpin Sabah.
“Isu ini zahirkan keperluan siasatan oleh pihak SPRM,” kata Haniff lagi.
Susulan itu, polis dan SPRM katanya wajib keluarkan kenyataan jelas pembukaan siasatan terhadap Shamsul Iskandar.
“Sama ada dia dalang atau telah menerima rasuah bagi tujuan membantu perolehan semula wang rasuah dibayar Tei kepada pemimpin Sabah,” tegas Haniff.
Malah, dia juga menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan kerana Shamsul Iskandar merupakan kakitangannya.
“Anwar juga perlu jawab, tidakkah beliau tahu sama sekali aktiviti yang direncanakan Shamsul berkenaan. Terutamanya kedudukan Shamsul Iskandar adalah setiausaha politik beliau masa itu.
“Anwar perlu jelaskan beliau boleh justifikasi apa yang dilaungkan anti rasuah, anti sakau, salah guna kuasa oleh pemimpin lain berlaku pula seperti didedahkan hari ini di pejabat beliau sendiri oleh setiausaha politik sendiri.
” Di mana usaha Anwar memastikan tiada rasuah disekeliling dia meskipun dia tak terlibat,” kata Haniff lagi.
“Peguam Negara juga kena berani ambil tindakan jika ada kes jenayah.”
Susulan pendedahan dibuat Tei, Shamsul Iskandar kemudian mengumumkan perletakan jawatannya dan memaklumkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar.
Malah Shamsul Iskandar turut mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.