
KUALA LUMPUR, 28 OKT 25 — Duta Besar Indonesia, Hermono, menolak keras khabar angin bahawa Presiden Prabowo Subianto memendekkan lawatannya ke Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 akibat kesilapan pengulas RTM yang menyebut dirinya sebagai bekas presiden, Joko Widodo.
Menurut Hermono, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang, ada menyatakan Prabowo pulang ke Jakarta semalam kerana ‘agenda padat domestik’.
“Ia tiada kaitan langsung dengan kesilapan sebutan namanya oleh pengulas (RTM),” kata Hermono, memetik laporan FMT.
Badan Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf susulan kesilapan pengulas RTM merujuk Prabowo sebagai pendahulunya, Widodo, ketika siaran langsung liputan Sidang Kemuncak Asean ke-47, di Kuala Lumpur.
RTM berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta bagi memastikan setiap maklumat disampaikan adalah tepat serta berintegriti.
Selepas keberangkatan pulang Prabowo, beliau diwakili beberapa menteri Kabinetnya, termasuk Menteri Luar Negeri Sugiono dan Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto.
Prabowo hadir Sidang Kemuncak Asean-AS pada Ahad, di mana Presiden AS Donald Trump sekali lagi mengesahkan komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik selepas menyatakan AS ‘100%’ menyokong Asia Tenggara. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.