
KUALA LUMPUR, 3 Mei 25 – Mantan Perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan golongan belia Melayu agar tidak mudah menerima bukan Melayu memerintah dan memiliki negara ini
Melalui hantaran di media sosialnya, Dr Mahathir berkata, anak muda Melayu harus sedar bibit-bibit diskriminasi mula kelihatan apabila kumpulan bukan Melayu mendominasi ekonomi.
“Sebaliknya rakyat bukan Melayu sekarang tidak terima kita orang Melayu sebagai sebangsa dengan mereka. Organisasi mereka termasuk parti politik tidak terima kita. Diskriminasi mereka terhadap kita jelas dalam syarikat dan perusahaan mereka. Mereka terasing dari kita secara fizikal dan mental.
“Sudah ternampak bibit-bibit sikap diskriminasi terhadap kita apabila mereka mendominasi ekonomi. Sudah tentu apabila mereka berkuasa penuh sebagai kerajaan, dasar mereka ialah meritokrasi yang akan menguntungkan mereka. Dasar Ekonomi Baru yang mengandungi affirmative action akan digugur,” kata negarawan itu
Jelasnya, sikap orang Melayu nyata berbeza terhadap kumpulan bukan Melayu yang sanggup berkongsi.
“Sebaliknya selama kita merdeka hampir 70 tahun orang Melayu apabila berkuasa sanggup berkongsi dengan bukan Melayu, walaupun yang mengekal identiti mereka dengan negara asal mereka. Dan di zaman itu kejayaan bukan Melayu lebih besar dari orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru tidak menghalang pembangunan dan kejayaan bukan Melayu.
“Sebab inilah maka sikap anak Melayu muda yang sanggup terima baik kemungkinan Malaysia dikuasai bahkan dimiliki oleh bukan Melayu tidak boleh diterima,” katanya.
Tambahnya lagi, apabila kumpulan bukan Melayu mereka mendominasi kerajaan mereka memberi tempat kepada bukan Melayu dalam kerajaan.
“Kita hargai sumbangan bukan Melayu kepada pembangunan negara. Tetapi sumbangan mereka sudah memberi pulangan yang besar kepada mereka.
“Anak muda Melayu perlu fikir dengan mendalam sebelum menerima tanahair kita tidak lagi dikuasai oleh kita,” kata Dr Mahathir. @politiko.my