Presiden MIPP, Sekutu Muhyiddin Didakwa Bukan Ahli Sah Parti

KUALA LUMPUR, 1 NOV 25 — Selepas Bersatu menyaksikan pertelingkahan dalaman berterusan, satu lagi anggota komponen Perikatan Nasional (PN) mula bergolak apabila bekas presiden parti itu, Santharasekaran Subramaniam, mendakwa penggantinya, Punithan Paramasivam, bukan ahli berdaftar parti itu.

Santharasekaran mendakwa, laporan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dibuat pada 10 Okt lalu selepas mendapati Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan pada 5 Okt tidak sah mengikut perlembagaan parti.

“AGM dijalankan atas dasar kepentingan peribadi Punithan selaku Presiden dan S. Subramaniam sebagai timbalan presiden tanpa sebarang perbincangan bersama Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CWC),” katanya dalam sidang media, seperti laporan Malaysiakini.

Tindakan itu katanya bersifat autokratik dan bertentangan dengan visi serta misi MIPP, selain melanggar tatacara kerja serta perlembagaan asas parti.

Beliau turut menggesa RoS menjalankan siasatan penuh terhadap penganjuran AGM berkenaan yang didakwa tidak mengikut prosedur.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Manimaran Kanappram, yang mendakwa dirinya sebagai setiausaha agung MIPP, dan turut menyokong dakwaan Santharasekaran.

Santharasekaran turut mendakwa pelbagai prosedur asas tidak dipatuhi, termasuk ketiadaan notis rasmi mesyuarat, kegagalan membentangkan laporan kewangan tahunan serta pembentangan usul tanpa kelulusan CWC.

Malah, dakwanya hampir 80% individu yang hadir ke AGM tersebut bukan ahli parti, sebaliknya dibawa datang “untuk berjalan-jalan ke Kuala Lumpur”.

Selain itu, dia juga mempersoalkan akaun rasmi MIPP yang didakwa tidak aktif serta mengaitkan isu berkenaan dengan pengurusan dana parti yang diragui.

Santharasekaran turut mendakwa, terdapat campur tangan pihak berkepentingan dan unsur samseng dalam proses pemilihan serta pelantikan jawatankuasa baharu.

“Pelantikan beberapa ahli jawatankuasa baharu dilakukan secara tidak adil dan berpaksikan kepentingan Punithan. Malah ada pihak berkepentingan dijanjikan habuan sekiranya menyertai dan membantu MIPP,” katanya.

MIPP merupakan parti komponen gabungan PN yang diasaskan pada tahun 2018.

Punithan dilantik sebagai presiden sementara menggantikan Santharasekaran dalam mesyuarat tahunan parti di Bandar Sunway pada tahun 2024.

Sementara itu, Manimaran mendakwa rekod keahlian rasmi parti hanya mencatatkan 70 ahli berdaftar, dan berdasarkan semakan, Punithan sendiri tidak tersenarai sebagai ahli sah.

“Berdasarkan rekod yang dikemukakan kepada RoS hari ini, hanya 70 ahli berdaftar secara rasmi dengan MIPP, manakala selebihnya termasuk Punithan bukan ahli sah,” katanya.

Awal Oktober lalu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan menamakan pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri gabungan itu untuk PRU16.

“‘Abah’ adalah pilihan kami,” kata P Punithan ketika berucap Perhimpunan Agung Tahunan MIPP. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share