
PARLIMEN | 12 Okt 26 – Penguatkuasaan bagi memastikan harga barang kekal stabil perlu diberi perhatian dalam menangani kos sara hidup, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pagi ini.
Ahli Parlimen Larut itu memberikan contoh harga pucuk paku yang menurutnya meningkat daripada RM5 kepada hampir RM10, sekali gus menggambarkan tekanan harga barangan harian yang ditanggung rakyat.
“Yang paling penting adalah enforcement (penguatkuasaan), supaya semua kadar harga dapat dilihat sebagai sesuatu yang konsisten, yang stabil. Supaya rakyat dapat menikmatinya,” katanya.
Hamzah berkata kerajaan tidak boleh bergantung kepada program jualan murah semata-mata, sebaliknya perlu meneliti keseluruhan rantaian bekalan dan kos logistik yang turut mempengaruhi harga barang.
Beliau mengakui kerajaan meneruskan dan memperluas inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Jualan Rahmah untuk membantu rakyat, namun mempersoalkan sama ada langkah itu mencukupi bagi menyelesaikan masalah kos sara hidup.
Mengimbas pengalamannya ketika menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hamzah berkata program jualan rakyat juga pernah dilaksanakan ketika beliau memegang jawatan itu, tetapi penguatkuasaan kekal penting bagi memastikan pengguna menikmati harga yang munasabah.
“Realiti harga barang tidak turun selepas naik. Yang berlaku cuma harga itu meningkat dengan kadar lebih perlahan,” katanya.
Beliau mengingatkan kerajaan supaya tidak hanya bergantung kepada angka ekonomi di atas kertas, sebaliknya melihat kesukaran sebenar rakyat dan menangani kenaikan harga melalui pendekatan yang menyeluruh. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.