PRN: Annuar Musa Bayang Strategi Baharu di Melaka

KUALA LUMPUR | 4 Ogos 26 – Tan Sri Annuar Musa membayangkan bahawa Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu mencari formula politik yang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sambil menegaskan bahawa pendekatan yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh diterapkan begitu sahaja.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata landskap politik Melaka jauh berbeza berbanding dua negeri tersebut, sekali gus memerlukan rundingan dan strategi yang lebih teliti.

Menurut Annuar, PAS ketika ini menguasai dua daripada enam kerusi Parlimen di Melaka, manakala PN pula menguasai tiga daripada enam kerusi berkenaan.

“Keadaan di Melaka sangat berbeza dari Johor atau Negeri Sembilan. PAS Melaka menguasai dua daripada enam kerusi Parlimen di Melaka. PN menguasai tiga daripada enam kerusi Parlimen di Melaka. Manakala BN tiada sebarang kerusi di Melaka,” katanya.

Beliau turut mendakwa PAS Melaka menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), termasuk pertambahan ahli dan pembukaan cawangan baharu di seluruh negeri itu.

Annuar juga berkata Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka kini dipimpin oleh beberapa bekas pemimpin DAP, manakala Wawasan Negara Melaka pula diterajui oleh bekas pemimpin kanan Bersatu.

Menurutnya, perkembangan itu menjadikan kekuatan PN di Melaka lebih tersusun dan menyeluruh.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui BN masih mempunyai pengaruh yang besar, khususnya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), meskipun prestasinya merosot selepas PRU15.

Annuar berpandangan bahawa gabungan kekuatan PN dan BN berpotensi menghasilkan kemenangan besar sekiranya kedua-dua pihak berjaya mencapai persefahaman politik yang kukuh.

“Jika PN dan BN berpadu tenaga secara menyeluruh dan berimbang, bolehlah kita jangkakan PN dan BN menyapu bersih sekurang-kurangnya 24 atau 25 daripada 28 kerusi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa cabaran utama bukan terletak pada soal kekuatan jentera, sebaliknya kemampuan kedua-dua pihak untuk membentuk satu formula kerjasama yang dapat diterima oleh semua pihak.

Berdasarkan kenyataan itu, Annuar dilihat menghantar isyarat bahawa rundingan kerusi antara PN dan BN di Melaka perlu dilakukan dengan pendekatan yang berbeza daripada model yang digunakan sebelum ini.

Pilihan Raya di Melaka dijangka berlaku dalam tempoh beberapa bulan mendatang. Pemerhati berpendapat sekiranya kerjasama BN-PN dapat dibuat dengan lebih tersusun, peluang untuk mengukuhkan kedudukan BN-PN semakin kuat ketika menghadapi PRU 16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share