PRN Johor: PAS Beri Bayangan Mahu Hidupkan Semula MN 2.0

KUALA LUMPUR | 4 Jun 26 — Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung dilihat sebagai titik penting dalam menentukan hala tuju baharu politik negara apabila PAS mencadangkan agar satu gelombang penyatuan politik Melayu-Islam digerakkan semula menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) 2.0.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan sekadar proses demokrasi biasa, tetapi membuka ruang kepada perubahan besar dalam landskap politik Malaysia.

Menurut beliau, perkembangan itu dijangka diikuti oleh beberapa negeri lain termasuk Melaka, Sarawak dan kemungkinan Negeri Sembilan yang semakin menghampiri tempoh tamat penggal.

Beliau berpandangan siri pilihan raya negeri tersebut mampu menjadi medan yang mencetuskan satu “gelombang perubahan baharu” yang berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam serta memperkukuh kedudukan Bumiputera di peringkat nasional.

Tuan Ibrahim berkata, kekuatan politik Melayu hanya mampu dibina melalui muafakat dan toleransi antara parti-parti utama Melayu, khususnya PAS dan UMNO.

Katanya, perpecahan politik Melayu sebelum ini telah menyebabkan kekuatan sedia ada menjadi lemah dan memberi kesan terhadap kedudukan politik orang Melayu.

“Perpecahan parti politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu, termasuk kelompok-kelompok kecil, telah menyebabkan kita menerima kesan yang berlaku pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan di facebook.

Beliau turut membangkitkan beberapa isu yang menurutnya perlu diberi perhatian serius termasuk pengiktirafan UEC, isu berkaitan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan tanah tertentu serta cabaran terhadap enakmen syariah negeri.

Menurutnya, penyatuan politik Melayu perlu berasaskan Islam sebagai paksi utama yang mampu menyatukan masyarakat serta membina kekuatan politik jangka panjang.

Mengimbas sejarah, beliau berkata kerjasama politik Melayu pernah berlaku selepas peristiwa 13 Mei melalui pembentukan Barisan Nasional, manakala Muafakat Nasional sebelum ini muncul atas kebimbangan terhadap perkembangan politik semasa.

Justeru, beliau menyeru agar semua parti politik Melayu mengetepikan perbezaan dan memberi keutamaan kepada agenda bersama.

“Sudah sampai masanya gagasan Muafakat Nasional 2.0 dijayakan,” katanya.

Perkembangan ini membuka persoalan sama ada PRN Johor bakal menjadi medan baharu penyusunan semula kuasa politik Melayu menjelang perubahan landskap politik Malaysia. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share