
KUALA LUMPUR | 28 Jun 26 — Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menjadi titik perubahan kepada landskap politik negara apabila kesetiaan tradisional terhadap parti bukan lagi faktor utama menentukan undi, sebaliknya prestasi pentadbiran dan kredibiliti calon menjadi pertimbangan utama pengundi.
Penganalisis politik berpendapat perubahan itu didorong oleh kemunculan generasi pengundi yang lebih pragmatik, terutama dalam kalangan golongan muda, yang tidak lagi terikat dengan identiti atau sejarah sesebuah parti.
Profesor Kehormat Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Malaysia kini sedang melalui fasa politik baharu apabila prestasi kerajaan dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat menjadi ukuran lebih penting berbanding sentimen kepartian.
Menurut beliau, corak pengundian itu menjadikan setiap parti perlu membuktikan keupayaan mentadbir dan menawarkan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan serta ekonomi negeri, berbanding hanya bergantung kepada pengaruh jenama parti.
Dalam masa sama, beliau melihat PRN Johor turut menyaksikan persaingan yang lebih kompleks apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), yang merupakan rakan di peringkat Persekutuan, bertembung secara langsung di negeri itu. Situasi tersebut dijangka membuka ruang kepada pengundi membuat penilaian berdasarkan prestasi setiap parti, bukannya semata-mata pakatan politik.
PRN Johor juga dilihat sebagai medan penting untuk menguji sejauh mana parti-parti politik mampu menyesuaikan strategi mereka dengan kehendak pengundi baharu yang lebih kritikal, lebih celik maklumat dan kurang dipengaruhi sentimen politik tradisional.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan berlangsung pada 11 Julai 2026, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh berkenaan sebagai hari pengundian. Penamaan calon telah diadakan pada 27 Jun 2026, manakala pengundian awal dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2026, sebelum pengundian penuh empat hari kemudian. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.