PRN Melaka: Bila BERSATU Mencari Payung

Dalam politik, mencari kawan bukan dosa. Tetapi apabila pintu yang diketuk satu demi satu tidak terbuka, rakyat berhak bertanya, adakah ini strategi besar atau sekadar strategi untuk terus bertahan?

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin jelas membuka ruang kepada kerjasama dengan parti lain.

Malah, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui parti itu tidak boleh bergerak secara bersendirian dan terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak. Beliau turut mengaitkan pengalaman PRN Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang perlu dipelajari sebelum menghadapi Melaka.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pada 19 September lalu berkata, Bersatu perlu berada dalam gabungan dan tidak boleh bergerak solo. Beliau juga mengesahkan perbincangan awal dengan MUDA bagi merintis kerjasama pilihan raya.

Jadi, isu sebenarnya bukan lagi sama ada Bersatu mahu mencari rakan. Jawapannya sudah terang, mahu dan tidak malu. Persoalan yang lebih menarik ialah siapa yang mahu menerima Bersatu sebagai rakan?

Bersatu dan politik “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”

Dalam bahasa politik yang lebih berlapik, Bersatu sedang berada dalam keadaan yang agak unik. Dahulu parti lain dilihat memerlukan Bersatu. Kini Bersatu pula perlu memastikan dirinya mempunyai rakan strategik.

Di sinilah muncul peribahasa “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong”. Bukan sebagai fakta tentang parti, tetapi sebagai sindiran terhadap keadaan politik apabila sesebuah parti politik berusaha masuk ke dalam kerjasama yang belum tentu dikehendaki oleh parti lain.

Lebih tajam lagi, ada pihak yang menggunakan ungkapan kasar “Bersatu seperti pelacur murahan” untuk menyindir politik yang dilihat terlalu mudah berubah haluan demi mencari tempat dalam sesuatu gabungan. Bersatu lebih tepat dikatakan ‘menjual diri terlalu murah, hinggakan mencalar maruah’.

Ungkapan itu memang pedas, tetapi ia bukan fakta dan bukan gambaran neutral. Ia hanyalah bahasa politik yang menghukum melalui persepsi. Dan di sinilah kita perlu berhenti sejenak; berfikir secara logik dan waras. Akibat terdesak, sangguph ‘menebalkan muka’ malah bermuka-muka mencari simpati rakan kongsi.

Muda membuka ruang, PH pula melukis garis merah

Yang menarik, hubungan Bersatu-MUDA memang sudah melalui perbincangan awal. Muhyiddin mengesahkan Bersatu telah berbincang dengan MUDA bagi merintis kerjasama pilihan raya. Sebelum itu, Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz menyifatkan pertemuan pimpinan kedua-dua parti sebagai antara usaha memperkukuh pembangkang, khususnya menjelang musim Belanjawan.

Namun, jangan pula terlalu cepat menulis bahawa MUDA sudah menjadi rakan rasmi Bersatu dalam PRN Melaka. Setakat laporan yang ada, MUDA sendiri masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding dalam PRN Melaka. Maknanya, pintu memang ada. Tetapi belum tentu akad politiknya berlaku.

PH pula memberikan perkembangan yang jauh lebih menarik. Pada 30 September, Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong berkata dengan jelas bahawa PH Melaka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan menyatakan hasrat untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka tanpa kerjasama parti di luar PH.

Namun, terdapat satu nuansa penting. Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum itu menjelaskan bahawa tiada perbincangan rasmi mengenai kerjasama PH-Bersatu dan keputusan mengenai kerjasama politik adalah perkara yang perlu diputuskan melalui Majlis Presiden PH.

Justeru, lebih tepat mengatakan pendirian PH Melaka melalui Khoo ketika ini menolak kerjasama dengan Bersatu, bukannya mendakwa seluruh struktur PH telah membuat keputusan muktamad dalam semua keadaan. Itulah beza antara berita dengan persepsi.

“Kiambang cantik, tapi akar tak jejak hanyut ke sana-sini”

Ada satu lagi peribahasa yang boleh menggambarkan persoalan politik ini. “Bagai kiambang cantik tetapi akar tidak jejak ke bumi.” Cantik di permukaan tidak semestinya kukuh di dasar. Dalam politik, logo boleh besar. Bendera boleh banyak. Kenyataan media boleh hebat. Tetapi akhirnya ukuran paling keras ialah akar umbi, organisasi, calon, jaringan tempatan dan kepercayaan pengundi mesti mantap dan selari.

Sebab itu langkah Bersatu mencari rakan tidak semestinya perlu dilihat sebagai kelemahan. Dalam sistem politik berbilang parti, rundingan dan pakatan adalah sebahagian daripada realpolitik. Tetapi setiap rundingan mempunyai harga.

Muhyiddin sendiri berkata pemilihan rakan perlu mengambil kira rasa hormat, sumbangan serta keselarasan prinsip. Beliau juga menegaskan Bersatu tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Jadi, cabaran Bersatu bukan sekadar mencari siapa yang mahu berkawan. Cabaran sebenarnya ialah membuktikan bahawa kerjasama itu mempunyai nilai dua hala.

Politik bukan ‘pasar malam’

Bersatu juga pernah membuka ruang kerjasama dengan BN di Melaka. Armada Bersatu Melaka pada September mencadangkan rundingan dengan BN serta menegaskan kepentingan mempertahankan DUN Bemban dan Sungai Udang yang pernah dimenangi Bersatu pada PRN Melaka ke-15.

Ini menunjukkan pencarian rakan bukan semata-mata tertumpu kepada PH atau MUDA. Tetapi semakin banyak pintu diketuk, semakin pentingnya persoalan; apa sebenarnya yang Bersatu tawarkan? Kerjasama politik bukan pasar malam. Bukan siapa datang dahulu dapat harga murah.

Strategi begini memerlukan kejelasan prinsip apa yang dikongsi, kerusi bagaimana diagihkan, siapa membawa kekuatan akar umbi, siapa memberi nilai tambah dan apakah agenda bersama untuk rakyat Melaka?

Pintu boleh diketuk, tetapi kunci di tangan tuan rumah

Bersatu mempunyai hak untuk mencari rakan. PH mempunyai hak untuk menolak. MUDA pula mempunyai hak untuk menilai. Dan itulah dinamakan demokrasi. Kerelaan tanpa paksaan.

Namun, politik yang matang bukan sekadar mencari payung ketika hujan turun. Ia tentang membina rumah yang cukup kukuh supaya tidak perlu berlari dari satu beranda ke satu beranda. Kalau benar Bersatu mahu menjadi rakan yang bernilai, jangan hanya mengetuk pintu. Tunjukkan dahulu mengapa tuan rumah perlu membukanya.

Kerana dalam PRN Melaka, bukan banyaknya pintu yang diketuk menentukan masa depan sesebuah parti. Tetapi, siapa yang sanggup membuka pintu, mengapa pintu itu dibuka, dan apa yang berlaku selepas kedua-duanya masuk ke dalam rumah yang sama.

Dalam politik, “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” mungkin menjadi bahan sindiran. Tetapi pada hari mengundi, rakyatlah yang memegang dan memilih kunci; membuka dan masuk ke rumah penuh harmoni.

Oleh: Ramlee Wahab – Batu Pahat

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Selepas RESET: Wawasan Negara dan Ujian Sebuah Harapan

Cabaran yang lebih besar sebenarnya terletak pada soal idea dan tawaran dasar. Selama ini PN banyak mendapat mileage politik melalui kritikan terhadap kerajaan. Pendekatan tersebut berkesan ketika rakyat berada dalam keadaan marah dan kecewa. Namun keadaan hari ini jauh lebih nuanced.
Read More
Total
0
Share