PRN Melaka: Populariti Bukan Ukuran, Pengundi Diminta Semak Rekod Calon

SELAYANG, 10 Okt 26 — Pengundi Melaka diseru supaya tidak terpedaya dengan populariti pemimpin atau janji pilihan raya, sebaliknya menilai rekod perkhidmatan, integriti dan kemampuan calon melaksanakan apa yang dijanjikan.

Ketua Penerangan Negeri Selangor Wawasan Negara, Ahmad Nasir Bin Mid, berkata pengundi perlu membuat penilaian secara matang bagi menentukan hala tuju negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Melaka ialah Negeri Bersejarah. Sebab itu kita tidak boleh melihat masa depan Melaka hanya berdasarkan populariti seseorang pemimpin atau janji ketika musim pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ahmad Nasir, calon perlu menjelaskan perancangan mereka untuk memperluaskan peluang pekerjaan kepada anak muda, membantu peniaga kecil dan memperkukuh sektor pelancongan negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka pelaburan atau projek fizikal semata-mata, tetapi perlu dinilai melalui manfaatnya terhadap pendapatan rakyat, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan kualiti hidup.

“Pembangunan mesti membawa manfaat kepada rakyat, bukan sekadar mengubah landskap negeri,” katanya.

Ahmad Nasir berkata pengundi juga perlu memastikan kemajuan ekonomi Melaka berjalan seiring dengan pemeliharaan sejarah, identiti dan warisan negeri.

Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak membuat keputusan berdasarkan emosi, sentimen atau populariti semata-mata.

“Semak. Tanya. Bandingkan. Nilai. Kemudian buat keputusan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Menurut beliau, keputusan pengundi akan menentukan hala tuju Melaka untuk tempoh panjang, justeru pilihan raya perlu menjadi ruang untuk menilai perancangan calon mengenai ekonomi rakyat, peluang anak muda, infrastruktur dan kualiti hidup.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini telah menetapkan 31 Oktober 2026 sebagai hari penamaan calon PRU DUN Melaka ke-16, diikuti pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November. Tempoh kempen berlangsung selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon pada 31 Oktober hingga 11.59 malam, 13 November. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

MB NS: Jangan Ambil Alih Kuasa Negeri, Jangan Lumpuhkan Kerajaan

“Prinsip federalisme yang sihat menuntut supaya sempadan kuasa masing-masing dihormati. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah berasaskan hormat-menghormati, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukannya tekanan atau percubaan mengatasi bidang kuasa satu sama lain,” katanya.
Read More
Total
0
Share