
KUALA LUMPUR | 18 Mac 26 – Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin mendakwa pemecatannya daripada parti berpunca daripada usaha beliau menyatukan pemimpin Melayu, bukan kerana agenda peribadi atau rundingan politik.
Menurutnya, pertemuan dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dilakukan atas mandat Dr Mahathir Mohamad melalui inisiatif “payung besar” bagi menghimpunkan kepimpinan Melayu di bawah satu kerangka bersama.
Hamzah menegaskan kepada Free Malaysia Today, tindakannya itu sepatutnya dilihat sebagai usaha memperkukuh perpaduan, namun sebaliknya telah disalah tafsir sehingga membawa kepada pemecatan beliau.
Beliau turut menyifatkan tindakan tersebut mencerminkan keengganan segelintir pemimpin untuk menerima konsep penyatuan Melayu secara menyeluruh.
Dalam masa sama, Hamzah mengulangi pendirian bahawa negara memerlukan satu “reset” terhadap sistem dan institusi bagi membuka ruang kepada pembaharuan lebih menyeluruh, selari dengan gerakan yang dilancarkannya selepas dipecat.
Isu ini timbul susulan ketegangan dalaman dalam Bersatu, yang sebelum ini menyaksikan perbezaan pendekatan dalam usaha membina kerjasama politik antara parti-parti Melayu. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.