PRN Pentas Rakyat, Kenyataan PMX Ancam Sistem Demokrasi – Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 19 Julai 26 – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan amaran peletakan jawatan atau pemecatan terhadap anggota pentadbiran Persekutuan yang mengkritik rakan sekutu disifatkan sebagai satu bentuk ancaman kepada sistem demokrasi matang di negara ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan sedemikian mendedahkan realiti membimbangkan mengenai mentaliti kepimpinan Putrajaya yang kini dilihat cuba mengamalkan ‘political surveillance’ atau pengawasan politik secara keterlaluan.

Menurut beliau, langkah tersebut bukan sahaja menyekat kebebasan bersuara, malah mematikan prinsip semak dan imbang yang menjadi teras utama kepada sebuah negara demokrasi yang sihat.

“Mengapa Anwar begitu takut terhadap kritikan? Apabila Perdana Menteri mengugut untuk meminta pemimpin berundur semata-mata kerana menyuarakan pandangan yang berbeza di lapangan, ia memberi isyarat bahawa kerajaan hari ini lebih mengutamakan ‘keselesaan politik elit’ berbanding ‘hak rakyat untuk tahu hal sebenar’.”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Ahad bagi mengulas ucapan Perdana Menteri di Ipoh, Perak baru-baru ini yang menyentuh mengenai etika anggota pentadbiran sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan bahawa semua pihak perlu memisahkan antara tanggungjawab pentadbiran di peringkat Persekutuan dengan dinamika politik di peringkat negeri.

Katanya, walaupun di peringkat Persekutuan mereka wajar komited bertindak secara profesional demi kestabilan negara, namun pentas PRN sepatutnya menjadi medan bebas untuk rakyat menilai pencapaian dan kegagalan dasar sesebuah parti.

“Di pentas PRN, rakyat negeri berhak menilai secara objektif kegagalan atau kepincangan dasar yang dibawa oleh mana-mana parti, tanpa perlu ada fakta yang disembunyikan. Retorik reformasi dan keterbukaan yang dilaungkan sebelum ini jelas bertentangan dengan tindakan menyekat teguran menggunakan kuasa eksekutif,” katanya.

Tambahnya lagi, persaingan dalam PRN sepatutnya menjadi wadah percambahan idea serta dasar secara sihat (marketplace of ideas). Justeru, beliau menyifatkan adalah menjadi tanggungjawab moral mana-mana pemimpin untuk menegur sekiranya ada dasar rakan sekutu yang merugikan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar kepimpinan Persekutuan menghentikan segera politik ugutan serta budaya mengurus mikro (micro-managing) yang tidak sihat dalam landskap politik negara.

“Fokus kita sepatutnya adalah menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat, bukannya sibuk menjaga perimeter politik kepartian sehingga sanggup mengorbankan prinsip ketelusan. Biarkan proses demokrasi berjalan dengan matang di peringkat akar umbi,” tegas beliau. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Gerakan Berhasrat Sertai PRN Sabah

"Parti berpendirian Sabah merupakan negeri yang penting dalam landskap politik nasional, dan sebarang keputusan akan dibuat secara kolektif demi memastikan kehadiran Gerakan di Sabah mampu membawa nilai tambah serta...
Read More
Total
0
Share