PRN Sabah Igauan Besar PH, Pembangkang Pula Lemah – Tokoh Wartawan

KUALA LUMPUR, 7 DIS 25 — Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai “satu lagi igauan” buat Kerajaan Madani dan bukannya sekadar wake-up call seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

Menurut Kadir, PRN 2023 menunjukkan PH hanya memenangi 80 daripada 245 kerusi dengan DAP mendominasi 46 kerusi, PKR 26 dan Amanah 8.

Keputusan PRN Sabah pula lebih parah apabila PH bertanding 22 kerusi tetapi hanya menang satu, iaitu PKR. DAP tewas di semua lapan kerusi ditandingi, jauh merosot berbanding enam kemenangan pada 2020. Barisan Nasional (BN) turut merudum daripada 14 kerusi pada 2020 kepada hanya enam.

“Bukan sekutu Anwar saja yang kecundang, parti beliau sendiri pun sama,” katanya.

Kadir mengingatkan bahawa Kerajaan Madani dibentuk bukan hasil kemenangan, sebaliknya melalui penyusunan pasca-PRU15 apabila tiada gabungan berjaya memperoleh majoriti.

Beliau membandingkan prestasi PH di bawah Anwar kini dengan pencapaian 113 kerusi ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin gabungan itu dalam PRU14 walaupun Anwar masih dipenjara ketika itu.

“Ertinya, PH lemah di bawah pimpinan Anwar,” tegas beliau.

Kadir turut menegur pentadbiran Anwar yang menurutnya mula dilihat menyimpang daripada janji reformasi, menyempitkan ruang demokrasi melalui kawal selia 3R, dan berdepan persepsi kronisme serta nepotisme.

Mengulas kedudukan pembangkang, Kadir menyatakan mereka juga tidak berada dalam keadaan kuat, dengan perpecahan dalaman khususnya dalam Bersatu.

“Mereka bercakap atas nama agama, bangsa dan negara, tetapi bercakaran. Itu pun kemunafikan juga namanya,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share