
KUALA LUMPUR, 11 NOV 25 — Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Isham Jalil, menjangkakan pembangkang mempunyai peluang lebih besar untuk menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, berikutan perubahan sentimen rakyat terhadap kerajaan negeri dan hubungan rapatnya dengan kerajaan persekutuan.
Menurut Isham, walaupun keputusan pilihan raya sukar diramal sepenuhnya, beliau melihat mood pengundi di Sabah kini cenderung ke arah parti bukan kerajaan seperti Warisan atau gabungan pembangkang lain.
“Saya letak keyakinan lebih kepada parti pembangkang. Sama ada Warisan atau parti-parti lain yang bukan kerajaan di sana,” katanya dalam satu temu bual podcast ‘Khabarnya’, baru-baru ini.
Katanya, Sabah mempunyai 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mana-mana gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 37 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Beliau menilai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan antara 30 hingga 40 kerusi, manakala Warisan dijangka mampu memperoleh sekitar 30 kerusi jika momentum berpihak kepadanya.
“Siapa yang capai 30 kerusi dan bergabung dengan calon-calon bebas boleh bentuk kerajaan,” jelasnya.
Isham berkata, antara faktor utama yang mempengaruhi mood pengundi ialah keraguan terhadap prestasi kerajaan negeri sedia ada, serta rasa tidak puas hati terhadap hubungan Sabah–Putrajaya.
“Sentimen Sabah untuk Sabah tu masih kuat. Mereka tengok Sarawak tak tunduk kepada parti-parti Melayu, tapi Sabah ni tunduk, jadi mereka rasa tidak adil,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Sabah menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2025 sekitar RM6.9 bilion, jumlah besar itu belum tentu menjamin sokongan terhadap kerajaan.
“Kita tengok macam mana bajet ini boleh pengaruhi keputusan PRN nanti. Tapi dari segi sentimen, kerajaan negeri sekarang saya rasa kalah,” ujarnya.
Isham turut memberi amaran bahawa jika kerajaan negeri Sabah tumbang kepada pembangkang, ia boleh mencetuskan kesan domino politik menjelang PRN Melaka, Johor dan Sarawak, sekaligus menjejaskan kedudukan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan persekutuan menjelang PRU16.
“Kalau Sabah jatuh, lepas tu boleh jadi domino Melaka, Johor, Sarawak. Itu yang menggerunkan parti PH dan kerajaan hari ini,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.