
KUALA LUMPUR, 19 NOV 25 – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa perjuangan menegakkan hak dan kepentingan rakyat Sabah mesti diteruskan dengan penuh keazaman, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, parti telah diberi amanah untuk bertanding di 10 kerusi bagi memastikan segala usaha memperjuangkan kepentingan Sabah dapat dilaksanakan, selaras arahan Perdana Menteri, YAB PMX Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah memuji usaha Kerajaan MADANI sejak 2022, termasuk mempercepat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menyelesaikan sembilan tuntutan utama Sabah, sesuatu yang gagal dicapai pentadbiran terdahulu.
Namun, beliau menekankan bahawa perjuangan masih belum selesai dan tanpa mandat rakyat, segala pencapaian selama tiga tahun berisiko kembali ke titik permulaan.
Beliau turut mengkritik pentadbiran sebelumnya yang gagal menunaikan janji pembangunan, termasuk menangani krisis air dan kestabilan ekonomi negeri.
“Dahulu, ada parti yang lantang melaungkan slogan ‘Sabah Ubah’, tetapi rakyat tidak merasai sebarang perubahan. Semua itu hanyalah janji kosong dan retorik politik semata-mata,” tegasnya.
Nurul Izzah menegaskan komitmen KEADILAN untuk memastikan kemajuan benar-benar sampai kepada rakyat Sabah.
“Sabah berhak menerima yang terbaik sebagai negeri yang bermaruah dan berdaulat. Inilah komitmen KEADILAN untuk Sabah – dibuktikan melalui kerja dan kesungguhan, bukan sekadar kata-kata,” ujarnya di facebook. @politiko.my
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh pengundian PRN Sabah pada 29 Nov manakala undi awal dijadual pada 25 Nov. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.