
KUALA LUMPUR, 23 Jun 25 — Dalam usaha mengangkat kembali warisan intelektual kewartawanan Melayu yang kian terpinggir, tokoh akademik dan sejarawan media terkemuka, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican tampil dengan inisiatif peribadi menaja biasiswa khas berjumlah RM25,000 untuk lima pelajar PhD di bidang kewartawanan dan akhbar Melayu.
Biasiswa bernilai RM5,000 setiap seorang ini ditawarkan kepada penyelidik muda yang menumpukan kajian mereka terhadap sejarah, peranan dan pemikiran media Melayu di seluruh Kepulauan Melayu Nusantara, termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.
“Saya percaya warisan kewartawanan Melayu adalah khazanah intelektual yang belum diterokai sepenuhnya.
“Kita perlu galakkan generasi muda menyelami peranan media dalam membentuk pemikiran dan identiti bangsa di rantau ini,” kata Ahmad Murad seperti dipetik wawancara bersama The Malaya Post.
Tajaan yang dibiayai sepenuhnya daripada sumbangan peribadinya dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selain itu UiTM akan bertanggungjawab menyelaras proses pemilihan, penilaian akademik dan pemantauan prestasi penyelidikan pelajar yang terpilih.
Lima cadangan penyelidikan terbaik akan dipilih berdasarkan keaslian idea, potensi impak akademik serta kesungguhan pelajar untuk menjalankan penyelidikan mendalam termasuk kerja lapangan dan kajian arkib sejarah di rantau Nusantara.
Ahmad Murad kini berkhidmat sebagai profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dikenali dengan komitmennya terhadap kajian sejarah media, kewartawanan Melayu, serta falsafah ilmu sosial dari perspektif dunia Melayu-Islam.
“Sumbangan peribadi ini bukan sekadar soal dana, tetapi isyarat kepada generasi akan datang bahawa kajian media Melayu bukan bidang pinggiran, tetapi satu dimensi penting dalam memahami akar sejarah dan pemikiran bangsa kita,” katanya. @sumber