
KUALA LUMPUR | 12 Julai 26 – Pengasas Parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengakui berlaku peralihan undi yang ketara kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, sekali gus menyebabkan semua calon parti itu gagal mempertahankan deposit.
Menurut beliau, analisis awal berdasarkan Borang 14 dan keputusan tidak rasmi menunjukkan calon-calon BERSAMA memperoleh secara purata antara tiga hingga enam peratus undi di 15 kerusi yang ditandingi.
“Ini bermakna kesemua calon BERSAMA hilang deposit kerana tidak mendapat undi minimum 12.5 peratus. Ia juga tidak melepasi sasaran untuk tidak hilang deposit dan mencapai 15 peratus undi,” katanya dalam satu kenyataan di facebook beliau.
Rafizi berkata, analisis awal turut menunjukkan peralihan undi yang ketara kepada BN merentasi semua segmen pengundi mengikut umur dan kaum.
“Analisa awal menunjukkan ada peralihan undi yang ketara kepada BN dari semua segmen pengundi mengikut umur dan kaum.
“Semua calon daripada parti-parti lain, baik PH, PN, BERSAMA atau MUDA terkesan dengan peralihan undi ini,” katanya.
Beliau berkata, BERSAMA akan memperhalusi keputusan pengundian bagi menambah baik pendekatan parti dalam usaha memenangi hati pengundi pada masa depan.
Menurutnya, walaupun keputusan pilihan raya tidak memihak kepada BERSAMA, pengalaman berkempen dalam PRN Johor akan menjadi asas penting untuk membina parti yang baharu berusia 52 hari itu.
“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan mendoakan rakyat Malaysia terbuka untuk menerima BERSAMA satu hari nanti,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.