
KUALA LUMPUR, 5 Mei 25 – Timbalan Presiden Bersatu, Dato Seri Hamzah Zainudin berkata, Raja Melayu boleh memainkan peranan menyatukan parti Melayu untuk menjadikan kaum itu lebih dominan dalam pentadbiran negara.
Hamzah berkata, sejarah membuktikan kemampuan institusi diraja menggabungkan masyarakat Melayu dari negeri berlainan dalam menentang cubaan penjajahan mutlak British menerusi Malayan Union, 80 tahun lalu.
Ketua pembangkang itu juga menambah, sifat feudalisme orang Melayu dengan mengangkat seorang raja yang bukan sahaja boleh memimpin tetapi boleh dipercayainya turut menjadikan peranan raja-raja lebih besar dalam penyatuan ummah.
“Jadi bila kita lihat itu dengan apa berlaku hari ini, pada saya kalau nak Melayu bersatu raja-raja harus berperanan…bercakap mengenai (penentangan) Malayan Union pada 1946 bagaimana orang Kelantan, Johor, Kedah dan semua orang Melayu boleh bergabung dan akhirnya menubuhkan Umno.
“(Itu berlaku) Apabila raja-raja berperanan di situ,” kata timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang turut memberi senario Umno tidak tertubuh jika orang Melayu dari negeri berlainan tidak bersatu pada waktu itu. Katanya kepada FMT.
Hamzah turut menyatakan kesediaan menghadap raja-raja Melayu untuk memaklumkan keadaan ketika ini, namun menekankan keperluan pihak lain bekerjasama dengannya jika diberi peranan melakukannya.
“Sekiranya semua parti-parti Melayu ini dapat bersama dengan contoh Majlis Raja-raja Melayu, saya rasa tak timbul lagi masalah pada masa depan terutama kalau dilakukan secepat mungkin.
“Insya-Allah Melayu akan menguasai negara,” kata Ahli Parlimen Larut itu. @sumber