Dakwaan Rawat Pesakit, Menteri Belia dan Sukan Wajar Disiasat, Kata Aktivis Politik

KUALA LUMPUR, 30 DIS 25 — Aktivis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin menggesa siasatan dilakukan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari yang dilaporkan pernah mengendalikan rawatan pesakit di sebuah klinik di Sungai Petani, dengan menggunakan gelaran serta perwatakan sebagai seorang doktor, sedangkan beliau bukan doktor perubatan yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC).

Menurut Dr Armin, MMC telah mengesahkan bahawa Taufiq tidak tersenarai sebagai pengamal perubatan berdaftar, sekali gus menimbulkan persoalan serius sama ada sebarang rawatan yang diberikan, jika benar berlaku, telah melanggar Akta Perubatan 1971 yang hanya membenarkan individu berdaftar mengamal perubatan di Malaysia.

Beliau menegaskan, sekiranya dakwaan merawat pesakit tanpa pendaftaran sah dibuktikan, perbuatan itu boleh diklasifikasikan sebagai amalan perubatan haram, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Dr Armin turut menyentuh kemungkinan wujud elemen penyamaran profesional, sekiranya seseorang individu memperkenalkan diri sebagai doktor bagi mendapatkan kepercayaan pesakit. Perkara itu, katanya, berpotensi melibatkan peruntukan Kanun Keseksaan, tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

“Isu ini bukan soal politik atau jawatan menteri, tetapi menyentuh keselamatan pesakit dan perlindungan awam. Dalam negara hukum, dakwaan sebegini mesti disiasat tanpa pilih kasih,” katanya.

Dr Armin menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi penguatkuasaan berkaitan untuk menyiasat dakwaan rawatan pesakit tersebut secara menyeluruh, demi memelihara integriti profesion perubatan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Baru-baru ini, Taufiq dilaporkan menganggap kontroversi berkaitan penggunaan gelaran ‘Dr’ sudahpun selesai, susulan penjelasan yang dibuat oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Beliau menegaskan, fokus utamanya kini adalah pada tugasnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan aspirasi kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang bermakna. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Krisis Takhta Negeri Sembilan Berterusan

"Yang Dipertuan Besar tidak oleh wujud tanpa adanya Undang Yang Empat, sekiranya mereka tidak lagi memberi sokongan kepada Yang Dipertuan Besar atas mana-mana kesalahan, atau hal-hal yang mencuit, merosakan nama baik kesempurnaan tugas dan adat yang dilakukan. Maka Yang Dipertuan Besar boleh diturun takhta oleh Undang Yang Empat (dengan dua syarat tersebut)," katanya
Read More
Total
0
Share