
KEPALA BATAS | 27 Feb 26 – Laporan kononnya 16 Ahli Parlimen bakal melompat parti disifatkan sebagai tidak tepat dari sudut teknikal dan perundangan.
Mantan Ketua Bahagian BERSATU Kepala Batas, Khaliq Mehtab yang juga seorang peguam berkata, sebarang tindakan keluar parti dan menyertai parti baharu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya Akta Anti Lompat Parti.
Menurut beliau, sekiranya Ahli-Ahli Parlimen terbabit keluar daripada parti masing-masing ketika ini, tindakan tersebut berpotensi mencetuskan implikasi serius termasuk kemungkinan pengosongan kerusi di Dewan Rakyat.
“Kalau 16 MP itu beralih arah ke parti baharu, ia boleh mencetuskan pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti. Kerusi mereka bukan automatik kosong, tetapi boleh dikosongkan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan mengenai perpindahan besar-besaran itu buat masa ini hanyalah spekulasi kerana tiada bukti kukuh atau fakta sahih yang menyokong dakwaan tersebut.
“Setakat ini tiada hard evidence. Ia lebih kepada spekulasi politik,” jelasnya.
Khaliq turut menjelaskan bahawa keinginan untuk membentuk “kapal baharu” dalam politik tetap terikat kepada undang-undang, dan tidak semudah yang digambarkan.
“Ahli Parlimen tidak boleh sewenang-wenangnya keluar dan menyertai parti baharu. Mereka tetap tertakluk kepada Akta Lompat Parti. Ia bukan perkara mudah,” ujarnya.
Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran bahawa sebarang percaturan politik melibatkan perubahan sokongan atau penyertaan parti memerlukan pertimbangan undang-undang yang teliti, selain berisiko mencetuskan pilihan raya kecil sekiranya berlaku pengosongan kerusi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.