
KUALA LUMPUR | 11 Jun 26 – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard tampil mengingatkan bahawa Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan hasil kerjasama pelbagai pemimpin dan parti politik, sekali gus menolak sebarang cubaan untuk memonopoli sejarah penubuhan gabungan tersebut.
Beliau merujuk kepada dokumen Laporan Tahunan Parti Perikatan Nasional 2021 yang memaparkan senarai kehadiran Mesyuarat Penubuhan Perikatan Nasional pada 29 Julai 2020 di Menara Parlimen, Kuala Lumpur.
Menurut dokumen itu, mesyuarat bersejarah tersebut dihadiri pemimpin daripada pelbagai parti yang kemudiannya menjadi tonggak kepada pembentukan PN, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk T. Mohan dan beberapa tokoh lain.
Chegubard berkata, senarai tersebut membuktikan bahawa PN dibangunkan secara bersama dan bukan milik eksklusif mana-mana parti politik.
“Mereka inilah pengasas kepada Perikatan Nasional. Malah pemimpin MIC pun ada dalam senarai pengasas,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, facebook.
Beliau turut menyindir dakwaan sesetengah pihak yang cuba menggambarkan satu parti tertentu sebagai pihak yang paling berhak menentukan hala tuju gabungan tersebut.
“Nasib baik MIC tidak kata dia tuan rumah Perikatan Nasional,” katanya.
Kenyataan itu dipercayai dibuat ketika perbahasan mengenai kedudukan dan sejarah pembentukan PN semakin hangat susulan perkembangan terkini hubungan politik antara parti-parti yang pernah berada di bawah gabungan berkenaan.
Chegubard turut menegaskan bahawa fakta sejarah tidak boleh dipadam atau diubah mengikut kepentingan politik semasa.
“Sejarah tidak pernah menipu. Tetapi sejarah boleh dimanipulasi oleh mereka yang terdesak,” katanya.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak secara khusus, kenyataan tersebut dilihat sebagai peringatan bahawa PN sejak awal penubuhannya dibentuk melalui persefahaman beberapa parti dan tokoh politik yang mempunyai peranan masing-masing dalam membina gabungan itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.