
BANGI | 11 Ogos 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui keadaan semasa menyukarkan untuk mencari seorang individu yang memenuhi kesemua syarat kelayakan sebagai pemimpin, menyebabkan parti itu mengamalkan pendekatan kepimpinan secara kolektif.
Menurut Abdul Hadi, ulama siyasah syar‘iyyah menetapkan lima syarat utama bagi kepimpinan, termasuk Islam, adil, mempunyai kefahaman agama yang mendalam, berhikmah dalam pentadbiran serta mempunyai pengaruh dalam parti dan masyarakat.
Beliau berkata, syarat pertama ialah seseorang pemimpin mestilah seorang Islam yang percaya kepada aqidah parti yang berpegang kepada al-din, selain membuktikannya melalui amalan dan perjuangan.
“Syarat kedua ialah adil, iaitu seorang Muslim yang soleh dan beristiqamah dengan Islam, tidak fasiq dengan melakukan dosa besar, berterusan melakukan dosa kecil dan perkara yang tidak bermaruah.
“Ia juga bersifat benar, amanah, tabligh dan fatanah,” katanya ketika berucap pada Liqa’ Fikri PAS Pusat di Hotel Tenera, Bangi pada 8 Ogos lalu.
Abdul Hadi berkata, pemimpin juga perlu mempunyai ilmu agama yang mendalam atau bertafaqquh dalam al-din serta mampu melakukan ijtihad sama ada secara individu mahupun secara berjemaah melalui syura.
Menurutnya, pemimpin perlu beristiqamah dengan dasar dan rukun yang tidak berubah, namun pada masa sama mampu berdepan keadaan yang sentiasa berubah dan situasi yang berbeza.
Syarat keempat pula, katanya, ialah kebijaksanaan atau hikmah dalam mentadbir, mengurus dan memimpin parti dalam setiap pergerakan serta perjalanan perjuangan, termasuk mempunyai keupayaan mentadbir negara.
Beliau turut menekankan kepentingan seseorang pemimpin mempunyai pengaruh dalam parti dan masyarakat sebagai syarat kelima.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata realiti semasa menunjukkan sukar untuk mendapatkan seorang individu yang memenuhi kesemua syarat tersebut secara sempurna.
“Namun, keadaan semasa yang sukar untuk mencari seseorang yang memenuhi semua syarat kelayakan yang disebut di atas, maka ia boleh dilakukan secara jama‘i dengan melantik beberapa kalangan ilmuwan daripada beberapa jurusan dan tokoh yang terpilih,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan memperteguh kepimpinan ulama dalam usaha menegakkan Islam dan mentadbir urusan dunia berlandaskan Islam.
Abdul Hadi berkata PAS turut menetapkan peranan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat daripada pelbagai latar belakang dan menggabungkannya dengan Majlis Syura Ulamak secara kolektif.
Katanya, gabungan berkenaan memenuhi keperluan kepakaran serta kefahaman agama dalam kepimpinan parti, selain membolehkan Majlis Syura Ulamak berperanan dalam mengawal dasar dan strategi PAS.
“PAS menetapkan peranan AJK PAS Pusat daripada kepelbagaian latar belakang, dan digabungkan dengan Majlis Syura Ulamak secara kolektif bagi memenuhi syarat bertafaqquh bertujuan untuk mengawal dasar dan strategi parti,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.