
KUALA LUMPUR | 12 Ogos 26 – “Mana penyakau?” Itu persoalan yang dilemparkan Ketua Penerangan Nasional Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal susulan pendedahan hampir RM13 bilion kerugian berkaitan 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji (TH).
Ahli Parlimen Machang itu berkata pendedahan angka berkenaan tidak sepatutnya berakhir sekadar perbahasan atau laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sebaliknya perlu disusuli tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Menurutnya, jika terdapat unsur salah guna kuasa, kecuaian serius, konflik kepentingan atau jenayah dalam pengurusan dana pendeposit TH, pihak berkenaan perlu dikenal pasti, disiasat dan didakwa berdasarkan bukti.
“Kalau ada ‘penyakau’, cari mereka.
“Kalau ada kecuaian jenayah, dakwa. Kalau ada wang boleh dipulihkan, tuntut,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata hampir RM13 bilion yang dikaitkan dengan 14 pelaburan bermasalah itu bukan angka kecil yang boleh diketepikan melalui istilah kewangan seperti rosot nilai atau penstrukturan semula.
Katanya, Kementerian Kewangan sendiri menjelaskan kira-kira RM10.2 bilion diserap kerajaan melalui struktur Urusharta Jamaah pada 2018, manakala RM2.6 bilion lagi merupakan rosot nilai yang ditanggung TH.
“RM13 bilion adalah wang yang akhirnya mempunyai pemilik – pendeposit, kerajaan dan rakyat Malaysia.
“Jadi persoalannya mudah: siapa yang bertanggungjawab?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa cadangan menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi untuk menyiasat pelaburan berisiko masih berada pada peringkat penelitian sedangkan RCI telah mengenal pasti pelaburan yang wajar diperiksa secara forensik.
“RCI sudah selesai. Laporan sudah dibuka. Pelaburan sudah dikenal pasti. Angka kerugian sudah disebut hampir RM13 bilion.
“Kalau selepas semua ini kerajaan masih berada pada peringkat ‘mempertimbangkan’ pasukan petugas, berapa lama lagi?” katanya.
Lima amaran BNM
Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan mengenai lima amaran Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kedudukan kewangan, rizab dan kecairan TH sejak 2014.
Beliau mahu kerajaan menjelaskan siapa menerima amaran tersebut, siapa menelitinya dan apakah keputusan yang dibuat selepas amaran berkenaan diterima.
“Adakah menteri yang bertanggungjawab ketika itu dimaklumkan?
“Mengapa amaran tidak menghasilkan intervensi yang cukup kuat?” katanya.
Menurutnya, akauntabiliti tidak tercapai hanya dengan mengakui bahawa kesilapan telah berlaku.
Sebaliknya, rakyat perlu mengetahui siapa yang membuat keputusan, berdasarkan nasihat apa dan penilaian bagaimana keputusan berkenaan dibuat.
Sukuk RM12.5 bilion
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan kedudukan Sukuk UJSB Siri 1 bernilai RM12.5 bilion yang matang pada 29 Mei 2026.
Beliau berkata dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa sebahagian besar obligasi berkenaan digantikan dengan sukuk baharu yang matang pada 2036 perlu dijawab secara terperinci oleh Kementerian Kewangan.
Antara persoalan yang perlu dijelaskan, katanya, ialah sebab obligasi yang matang pada 2026 dilanjutkan sehingga 2036, kos pembiayaan serta implikasinya terhadap kedudukan kewangan TH dan komitmen kerajaan.
“Berapa sebenarnya jumlah komitmen kerajaan kepada UJSB dari sekarang sehingga 2036?
“Dan berapa banyak akhirnya akan ditanggung melalui Dana Disatukan Persekutuan – yakni wang pembayar cukai?” soalnya.
PMX perlu buktikan
Wan Ahmad Fayhsal berkata kedudukan TH yang semakin kukuh tidak seharusnya digunakan untuk menutup persoalan mengenai bagaimana kerugian lampau berlaku.
Katanya, pemulihan institusi dan pertanggungjawaban terhadap salah laku merupakan dua perkara berbeza.
“Pesakit boleh sembuh. Tetapi kita masih perlu mengetahui siapa yang meracuninya,” katanya.
Beliau kemudian menggesa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda antirasuah dengan mengambil tindakan berdasarkan dapatan RCI.
“Kalau ada ‘penyakau’, cari mereka. Kalau ada kecuaian jenayah, dakwa.
“Kalau ada wang boleh dipulihkan, tuntut.
“Kalau keputusan dibuat secara sah dan profesional tetapi akhirnya rugi kerana risiko pasaran, jelaskan supaya nama mereka yang tidak bersalah tidak difitnah,” katanya.
Menurutnya, ukuran sebenar kejayaan kerajaan bukan sekadar berapa peratus syor RCI telah dilaksanakan, tetapi berapa kes disiasat, berapa fail diserahkan kepada pihak penguat kuasa, berapa aset berjaya diperoleh semula dan siapa yang akhirnya dipertanggungjawabkan.
“Selepas angka RM13 bilion didedahkan, rakyat tidak lagi memerlukan satu lagi ucapan.
“Rakyat memerlukan nama, fakta, siasatan, pemulihan wang dan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang terbukti bersalah,” katanya.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri supaya mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan dalam isu berkenaan segera dibawa ke muka pengadilan.
“YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sila hadapkan ‘penyakau’ ini ke muka pengadilan – segera,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.