
MELAKA | 27 Apr 26 – Hampir separuh syarikat milik kerajaan negeri Melaka berdepan risiko kewangan serius sehingga digelar sebagai “syarikat zombi”, menurut pendedahan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang DUN Melaka, Mohd Yadzil Yaakub.
Merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 1/2026, beliau mendedahkan bahawa 21 daripada 45 syarikat aktif kerajaan negeri mempunyai isu “berisiko gagal atau gulung tikar” (going concern), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan kewangan entiti terbabit.
“Dalam bahasa mudah, hampir separuh syarikat kerajaan negeri berada dalam keadaan kritikal dan berisiko gulung tikar,” kata Yadzil ketika membahaskan ucapan TYT Yang di-Pertua Negeri.
Lebih membimbangkan, katanya, syarikat-syarikat tersebut terus disokong menggunakan dana awam, dengan jumlah pendahuluan mencecah RM147.39 juta setakat akhir 2023.
Antara entiti yang menerima jumlah besar termasuk Universiti Islam Melaka Berhad (UIMB) dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB).
Beliau mempersoalkan rasional kerajaan negeri terus menyalurkan dana kepada syarikat yang gagal tanpa pelan pemulihan yang jelas.
“Sampai bila wang rakyat perlu digunakan untuk menampung kegagalan pengurusan? Ini bukan lagi soal pelaburan, ini soal pembaziran,” tegasnya.
Menurut beliau, situasi tersebut mencerminkan kegagalan tadbir urus serta kecenderungan kerajaan memberi keutamaan kepada “kosmetik politik” berbanding impak ekonomi sebenar.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri membentangkan pelan pemulihan kewangan yang komprehensif bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat milik kerajaan.
“Rakyat tidak mahu lagi persembahan angka yang cantik. Rakyat mahukan tindakan yang nyata,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.