Rogol Di Sekolah : Daripada Ujian Kepada Balasan

Oleh : A Kadir Jasin

Apabila seseorang atau sekumpulan orang melakukan kebaikan, mereka sekali gus mengharapkan keberkatan.

Membina sekolah, hospital, jalan raya dan wakaf di tepi jalan adalah perbuatan baik.

Justeru itu, kita mengharapkan kebaikan atau keberkatan daripadanya. Sekolah melahirkan pelajar yang berilmu dan berakhlak. Hospital menyembuhkan pesakit. Jalan raya memudahkan perjalanan dan wakaf melindungi pengembara dari hujan dan panas.

Tetapi apabila sekolah menjadi tempat pelajar belajar membuat kejahatan dan melakukan jenayah, ia bukan lagi tidak berkat malah susah bertukar menjadi bala.

Hari ini, kebanyakan orang Islam mengistilahkan bala sebagai ujian daripada Allah. Ada juga yang kata amaran atau peringatan.

Tetapi kepada orang dulu-dulu, bala diistilahkan sebagai balasan. Mereka kata, buat jahat Tuhan turunkan bala. Apabila turun bala, yang tidak bersalah pun kena juga.

Jadi, dari masa ke semasa mereka adakan kenduri dan sembahyang tolak bala. Kalau di kampung saya di Kedah, ia diadakan pada musim kemarau, di sebelah petang, di kawasan terbuka seperti sawah atau padang ragut.

Bala datang dalam pelbagai bentuk. Salah satu contoh terbaru dilaporkan berlaku di sebuah sekolah menengah di Melaka.

Media massa memetik Polis Diraja Malaysia sebagai berkata, empat orang pelajar lelaki tingkatan lima ditahan kerana disyaki terbabit merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dalam sebuah kelas di sekolah mereka.

Maaf cakaplah kalau saya kata, ini mungkin bukan bala atau ujian lagi. Ia lebih berupa balasan kepada ibu bapa, guru dan masyarakat keseluruhan yang tidak mendidik dengan tekun dan betul.

Kerana ada ibu bapa, penjaga dan pendidik tidak mendidik dengan betul, kita telah melahirkan anak-anak yang seakan-akan “natural born killers” – lahir untuk  membunuh.

Tetapi, setiap kali saya menulis mengenai bala dan kecelakaan yang berlaku di negara kita, ada saja orang yang menolak kesimpulan itu atau menuduh saya cuba mengaitkannya dengan pemerintah.

Tetapi, bukankah bala malu Harimau Malaya itu juga adalah akibat perbuatan orang yang berkuasa?

Terima kasih.

Dato A Kadir Jasin ialah mantan Ketua Pengarang NST. Artikel ini telah disiarkan di laman sosial facebook beliau, 12 Okt 25

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share