Rombakan Kabinet: Anwar ‘Terlalu Beri Muka’ Kepada DAP, Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR, 17 DIS 25 — Profesor Kehormat Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, menyifatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat terlalu memberi muka kepada DAP, yang menjadi tulang belakang Pakatan Harapan (PH) berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi pada PRU15.

Menurut beliau, walaupun DAP adalah parti paling banyak menang kerusi dalam PH dan kedua terbanyak selepas PAS, rundingan dalaman gabungan dan penerimaan masyarakat majoriti membolehkan Anwar menerajui Kerajaan Perpaduan.

Namun, katanya, pengaruh besar DAP dalam kerajaan pasca-PRU15 menyebabkan wujud persepsi bahawa parti itu diberikan kelebihan yang tidak seimbang dalam pentadbiran.

“Dalam demokrasi pilihan raya yang bersifat a game of numbers, pengaruh DAP bukan perkara baru, tetapi cara kerajaan memberi ruang yang luas kepada mereka telah menimbulkan kebimbangan orang Melayu-Muslim,” kata Fauzi.

Beliau menambah bahawa persepsi ini diperkuatkan oleh politik identiti dan media sosial, menyumbang kepada tindak balas politik dalam bentuk Gelombang Hijau yang masih berterusan selepas hampir tiga tahun kerajaan Madani beroperasi.

Fauzi juga mengakui bahawa sebahagian besar menteri dan timbalan menteri DAP menunjukkan prestasi yang baik, walaupun terdapat beberapa pengecualian yang keberkesanannya dipersoalkan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan pimpinan Anwar perlu lebih tegas dalam mengurus pengaruh DAP tanpa menimbulkan ketidakseimbangan politik yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat majoriti.

Beliau menekankan bahawa pelantikan bukan Muslim daripada DAP dan GRS untuk menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan menimbulkan kebimbangan mengenai nasib Melayu bandar, dan menjadi ujian kepada kerajaan untuk membuktikan bahawa dasar kementerian itu tidak berpihak kepada mana-mana pihak. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share