Rugi RM46.67 Juta: MCA Persoal Kenapa Kerajaan Masih Membisu

KUALA LUMPUR | 16 Mei 26 — MCA mempersoalkan sikap kerajaan yang didakwa masih gagal memberikan penjelasan berhubung kerugian RM46.67 juta yang dikaitkan dengan projek strategik Bandar Malaysia.

Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, pendedahan Presiden MCA, Wee Ka Siong mengenai kerugian tersebut perlu dipandang serius kerana melibatkan aset strategik negara dan wang awam.

Menurut beliau, Bandar Malaysia sebelum ini diumumkan sebagai antara projek pembangunan terbesar negara yang mempunyai potensi tinggi dalam menjana pelaburan, pembangunan bandar dan peluang pekerjaan.

Namun katanya, dakwaan kerugian besar itu kini menimbulkan persoalan terhadap tahap pengurusan, pemantauan dan tata kelola projek berkenaan.

“Apa yang lebih membimbangkan, sehingga hari ini kerajaan dilihat masih membisu tanpa sebarang penjelasan yang jelas, telus dan meyakinkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dakwaan kehilangan wang rakyat dalam jumlah besar tidak boleh dipandang ringan dan kerajaan wajib tampil memberikan penjelasan segera kepada rakyat.

Chan Quin Er turut mempersoalkan siapa yang perlu bertanggungjawab terhadap pengurusan Bandar Malaysia serta bagaimana kerugian tersebut boleh berlaku.

Selain itu, beliau mahu kerajaan menjelaskan langkah yang akan diambil bagi memastikan wang rakyat tidak terus hangus akibat kegagalan tata kelola pentadbiran.

Katanya, dalam keadaan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi, setiap sen wang awam mesti diurus secara amanah dan bertanggungjawab.

“Rakyat tidak mahu lagi melihat episod ketirisan, kelemahan pentadbiran dan kegagalan tata kelola terus berulang tanpa ada pihak dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau menegaskan ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh sekadar menjadi slogan politik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata kerajaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share