RUU Pindaan Perlembagaan ‘Separuh Masak’, Kata Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR | 6 Mac 26 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan dua Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini sebagai “separuh masak”, sekali gus menjadi punca utama kegagalan mendapatkan sokongan Dewan Rakyat.

Menurut beliau, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sepatutnya dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan secara terburu-buru.

Katanya, perkara itu selari dengan cadangan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang sebelum ini mengusulkan agenda “reset” politik negara melalui Konsensus Nasional Baharu secara menyeluruh dan mendalam.

“Reset tidak boleh separuh masak. Tetapi itulah yang berlaku apabila kerajaan membentangkan dua RUU meminda Perlembagaan pada 2 dan 3 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin berkata RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akhirnya gagal mendapat kelulusan Dewan Rakyat Malaysia, manakala cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya pula dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

Menurutnya, pembangkang tidak menolak prinsip mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, namun mempersoalkan kandungan RUU tersebut yang dianggap tidak komprehensif.

Beliau menjelaskan masalah utama jawatan Perdana Menteri di Malaysia ialah pemusatan kuasa yang boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah, namun mengehadkan tempoh jawatan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani isu berkenaan.

“RUU itu tidak menjawab persoalan penting seperti larangan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan serta kedudukan anggota keluarga daripada memegang jawatan penting dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Saifuddin turut menegaskan bahawa tujuan utama mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri seharusnya untuk membangunkan budaya politik baharu yang lebih bersih dan berintegriti.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang menurutnya masih gagal menjawab isu berkaitan kuasa yang terlalu besar serta mekanisme akauntabiliti.

Katanya, bagi meningkatkan akauntabiliti, Peguam Negara wajar dijadikan menteri supaya bertanggungjawab kepada Parlimen, manakala pelantikan Pendakwa Raya perlu melalui proses jawatankuasa Parlimen.

Menurut beliau, jika perkara itu tidak diperhalusi, pindaan berkenaan berisiko mewujudkan dua jawatan yang terlalu berkuasa dalam sistem pentadbiran negara.

“Jika hari ini Peguam Negara terlalu berkuasa, RUU ini berpotensi melahirkan dua individu yang terlalu berkuasa iaitu Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau menegaskan kegagalan tersebut membuktikan bahawa reformasi institusi perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukannya melalui pendekatan separuh masak. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share