
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 25 – Perbahasan di Dewan Rakyat semalam membuka semula perdebatan mengenai hala tuju tenaga nuklear negara apabila Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyuarakan kebimbangan terhadap “kekosongan undang-undang” yang boleh menjerat Malaysia dalam krisis tadbir urus jika kerajaan tergesa-gesa membina loji janakuasa nuklear tanpa kerangka perlesenan yang jelas.
Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 yang dibawa oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Wan Fayhsal menyokong penuh pindaan, namun menegaskan ia hanya menyentuh kawalselia bahan radioaktif, sisa, keselamatan dan sekuriti – bukan soal penjanaan elektrik nuklear.
“Tiada peruntukan yang menyebut pembinaan Nuclear Power Plant (NPP) sebagai aktiviti sah, tiada pihak berkuasa kompeten untuk meluluskan atau mengawal selia loji, yang ada hanyalah lesen bahan dan pelan kecemasan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa jika Malaysia serius menuju ke arah tenaga nuklear, kerajaan mesti mempercepatkan penggubalan RUU Perlesenan Kuasa Nuklear yang komprehensif termasuk mengiktiraf NPP sebagai aktiviti berlesen, menubuhkan suruhanjaya pelesenan bebas, menetapkan standard keselamatan antarabangsa dan rejim liabiliti jika berlaku kemalangan.
Beliau turut membidas langkah menempatkan Nuclear Energy Program Implementing Organization (NEPIO) di bawah agensi Kementerian PETRA iaitu MYPower, dengan menyifatkannya “tidak sesuai” kerana cenderung kepada kepentingan kementerian tertentu.
“Malaysia perlukan struktur nasional yang neutral dan rentas kementerian. Model seperti Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) wajar diwujudkan semula jika kerajaan benar-benar serius,” katanya.
Sebelum ini, RUU tersebut telah dibentangkan oleh Menteri MOSTI, Chang Lih Kang untuk bacaan untuk kali pertama pada 21 Ogos 2025. Ia menyentuhmengenai peluasan skop akta untuk mengawal selia aspek seperti keselamatan, kawalan guna serta sekuriti nuklear
Pindaan ini turut meliputi aspek jalur keselamatan, sistem penguatkuasaan Atom Malaysia, perancangan kecemasan, kawalan eksport/import bahan radioaktif, penubuhan Kumpulan Wang Sisa Radioaktif, pemasukan rejim liabiliti dan penalti, serta larangan penggunaan nuklear untuk tujuan senjata. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.