
KUALA LUMPUR, 28 Sep 25 – Himpunan Mega Tolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) pada 4 Oktober ini dijangka mendapat sambutan daripada ahli Pemuda UMNO meskipun pimpinan tertinggi parti itu tidak mengesahkan penyertaan rasmi.
Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa berkata, ramai ahli UMNO akar umbi khususnya golongan muda menyatakan minat untuk bersama rakyat dalam menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan URA.
“Walaupun UMNO secara rasmi tidak turun, kami yakin ramai anak muda UMNO akan bersama-sama kerana isu ini melibatkan kepentingan rakyat. Ahli Pemuda parti itu tidak boleh menutup mata terhadap kesan RUU ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Mohd Zai, himpunan tersebut akan berlangsung di empat lokasi utama sekitar ibu negara, antaranya Dataran Merdeka, Sogo dan KLCC, manakala lokasi akhir masih dalam perbincangan.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak wajar dilihat hanya mendahulukan kepentingan parti semata-mata.
“Kalau pimpinan UMNO tidak bersama, itu hak mereka. Tetapi kita percaya ahli-ahli Pemuda akan hadir kerana mereka sedar rakyat di kawasan mereka sendiri terkesan. Jangan sampai rakyat lihat UMNO lebih utamakan kuasa daripada membela nasib orang ramai,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi NGO Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata pendirian UMNO untuk tidak menyertai himpunan itu memberi isyarat negatif kepada rakyat.
“Kalau UMNO tidak hadir, ia menunjukkan mereka lebih pentingkan kepentingan sendiri. Tetapi kami yakin suara rakyat tidak akan terhenti hanya kerana UMNO berdiam diri,” katanya.
Himpunan Mega Tolak URA dianjurkan sebagai protes terhadap rang undang-undang tersebut yang didakwa boleh menjejaskan kedudukan rakyat di bandar dan memberi kesan kepada pemilikan tanah serta perumahan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.