
KUALA LUMPUR, 30 Apr 25 – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengesahkan bahawa peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Mei 2025, ditangguhkan kepada 1 Jun 2025.
Memetik beberapa laporan media The Edge, penangguhan itu kerana garis panduan dan skop SST sedang diperhalusi untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.
Peningkatan kadar SST daripada 6% kepada 8% diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara barangan yang akan dikenakan cukai baharu termasuk produk mewah seperti salmon, avokado, dan kosmetik berjenama import, selaras dengan pendekatan percukaian progresif yang ingin dikenakan ke atas golongan berpendapatan tinggi.
Pihak MOF turut menjelaskan bahawa penangguhan ini tidak akan menjejaskan unjuran hasil negara secara signifikan, sebaliknya dapat meningkatkan pematuhan cukai melalui proses pelaksanaan yang lebih tersusun.
Kerajaan menyeru semua pihak yang terlibat agar mengambil peluang ini untuk bersiap sedia, dan memberi jaminan bahawa maklumat lanjut serta garis panduan teknikal akan disalurkan dalam masa terdekat. @sumber