
KUALA LUMPUR | 27 Mac 26 — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa gagasan “reset” yang dibawa pembangkang bukan sekadar agenda politik, sebaliknya merupakan satu “perjalanan moral” untuk membina semula negara.
Menurut beliau, konsep tersebut merupakan sebahagian daripada idea Konsensus Nasional Baharu yang digagaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan disokong oleh hujah berteraskan agama serta pemikiran rasional.
“Dalam wacana reset, ia menghimpunkan hujah-hujah naqli dan aqli yang mendokongnya, termasuk prinsip amar makruf nahi mungkar serta pendekatan maqasid yang melangkaui kepentingan jangka pendek atau pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin berkata, gagasan itu turut menekankan keperluan kepimpinan yang berintegriti, amanah dan berkepakaran, selain tidak didorong oleh keinginan terhadap jawatan semata-mata.
Beliau menambah, “reset” juga bertujuan membetulkan institusi, sistem serta undang-undang sedia ada, di samping membangunkan semula kerangka politik negara ke arah demokrasi yang lebih matang, stabil dan moderat.
“Ini soal pembinaan bangsa, bukannya political survivalism,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menyentuh mengenai pihak yang menentang gagasan tersebut, dengan mendakwa kritikan terhadap “reset” tidak disertai hujah substantif.
“Apakah hujah penentang reset? Tiada. Yang ada hanyalah pembohongan, ugutan, pemecatan, melengah-lengahkan, maki hamun dan pembunuhan karakter,” katanya.
Beliau turut mengaitkan kritikan itu dengan peringatan dalam al-Quran mengenai golongan yang mendakwa melakukan kebaikan tetapi sebenarnya membawa kerosakan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata perjuangan tersebut selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun, serta perlu dilaksanakan secara berhikmah dan beradab.
“Reset adalah satu seruan dan gerakan — satu perjalanan moral,” katanya, sambil menyeru semua pihak untuk memberi sokongan terhadap usaha tersebut.
Gagasan “reset” sebelum ini dikemukakan oleh Hamzah Zainuddin dalam konteks usaha pembangkang untuk memperkukuh peranan semak dan imbang serta menawarkan pendekatan alternatif dalam tadbir urus negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.